Wanita latih kelab bola lelaki Syria

Maha Jannoud dipercayai wanita pertama di Timur Tengah jadi jurulatih pasukan lelaki

Berita Harian - - SUKAN -

DAMSYIK: Di padang bola, Maha Jannoud menjerit memberi arahan kepada pemain seperti jurulatih lain, tetapi dengan satu kelainan: beliau adalah seorang wanita dalam dunia bola sepak lelaki.

Jannoud, 32 tahun, yang sebelum ini bermain bagi pasukan bola sepak wanita kebangsaan Syria, percaya beliau adalah wanita pertama di Timur Tengah melatih pasukan lelaki profesional.

Dengan berpakaian sukan dan rambut diikat ke belakang, beliau menggalas tugas sebagai penolong jurulatih di kelab Damsyik dengan penuh yakin.

“Apabila orang yang memikul tugas memberi latihan ini melakukan dengan penuh yakin dengan maklumat di dada dan mempunyai pengaruh karisma dan kepimpinan khas di padang, ia tidak membezakan antara seorang lelaki dan seorang wanita,” katanya semasa berehat dalam satu sesi latihan.

Pengalaman bermain dengan kelab yang sama, al-Muhafaza, tetapi dalam pasukan wanita, mungkin memudahkannya memenangi kepercayaan dan penerimaan di kalangan para pemain.

Kerjayanya sebagai pemain berakhir menyusuli kecederaan yang dialami tetapi beliau meneruskan minatnya dalam sukan itu sebagai jurulatih.

Bagaimana penerimaan para pemain lelaki dilatih oleh seorang wanita?

“Pada mulanya ia agak sukar,” kata seorang pemain lelaki, Amjad Katkout, mengenai latihan di bawah seorang jurulatih wanita itu.

“Tetapi kemudian kami mula terbiasa dengan ini, dan beliau menjadi seperti kakak atau kawan. Ia adalah perkara biasa,” tambahnya.

Keputusan yang baik mungkin membantu Jannoud mengukuhkan kedudukannya sedang pasukan al-Muhafaza cuba berpindah daripada divisyen kedua kembali ke divisyen utama di Syria.

Setakat perkembangan di musim ini, mereka telah memenangi lapan daripada 10 perlawanan liga dan dua seri.

Di negara yang masih berhadapan dengan perang saudara – konflik yang menghalang pasukan wanita Syria bermain selama beberapa tahun dalam dekad ini – kelab itu berharap pelantikan Jannoud mewakili kemajuan bagi bola sepak dan bagi penglibatan wanita.

“Saya melantiknya sebagai penyelia teknikal pasukan yang akan bermain tahun ini,” kata pengurus teknikal kelab, Anas Sebaei.

“Kami menarik banyak perhatian dan cakapan dengan keputusan ini.

“Maha berhak kerana beliau seorang pemain yang baik dan jurulatih yang baik,” kata beliau lagi. – Reuters

JALANKAN TUGAS DENGAN YAKIN: Maha Jannoud memberi arahan kepada para pemain kelab bola sepak lelaki Syria, al-Muhafaza, dalam satu sesi latihan. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.