Berita Harian

Bukan lawan sebenar JDT

Harimau Selatan jinakkan Beoungket Angkor dalam kempen pertama, malam tadi

- Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Kumpulan F Piala AFC dengan langkah kanan selepas menewaskan pendatang baharu, Beoungket Angkor FC 3-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Seawal minit kedua, juara Piala AFC 2015 berjaya mencipta jaringan selepas gerakan menarik oleh Gabriel Guerra dari sayap kiri, kemudian menggelece­k tiga pertahanan lawan dan mengumpan kapten Safiq Rahim yang menolak semula kepada pemain import dari Argentina itu sebelum merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Sou Yaty.

Selepas jaringan itu, tuan rumah terus menguasai perlawanan apabila kerap mengasak ke kubu skuad kendalian John Mcglynn menerusi larian pantas Mahali Jasuli berpunca gerakan yang dimulakan Nazmi Faiz Mansor.

Asakan berterusan skuad Harimau Selatan membuahkan hasil pada minit ke-12 apabila gerakan dimulakan oleh Safiq yang melambungk­an bola kepada S Kunanlan yang bertindak melorongka­n bola kepada Nazmi Faiz yang tidak dikawal mudah menolak bola menewaskan Yaty.

Duri dalam daging

Tersentak dengan dua gol JDT itu, anak didik Mcgylinn mula mengasak ke kubu tuan rumah dan hampir merapatkan jurang pada minit ke-21 selepas bola umpanan Rous Samoeun disambar Hikaru Mizuno, namun tiang gol sebelah kiri menjadi penyelamat ketika penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sudah tertewas.

Percubaan menarik Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-51 gagal disudahkan dengan jaringan walaupun bijak memperdaya benteng pertahanan lawan tetapi bola sekadar melepasi palang gol.

Selang dua minit kemudian bola lorongan Guerra tepat kepada Safiq, namun bola rembatan di dalam kotak penalti hanya sipi dari pintu gol ketika Yaty tampak sudah tertewas.

Guerra yang menjadi duri dalam daging Beoungket Angkor FC hampir mencipta gol kedua peribadi pada minit ke-59, tetapi rembatan deras tepat ke gawang gol memaksa Yaty merebahkan badan untuk menepis bola.

Ketika aksi berbaik seminit untuk ditamatkan, Safiq akhirnya mencetak nama selaku penjaring selepas menanduk bola masuk hasil bola umpanan pemain gantian Gonzalo Cabrera untuk kemenangan memihak skuad Harimau Selatan.

 ??  ?? Pemain JDT merai kejayaan menewaskan Beoungket Angkor FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam tadi.
Pemain JDT merai kejayaan menewaskan Beoungket Angkor FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia