Berita Harian

‘Ada gerakan terancang jatuhkan Zakaria’

Pihak tertentu didakwa amat takut jika CEO FGV dikekalkan sebab beliau ada maklumat

- Oleh Mohamed Farid Noh

Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mendakwa wujud usaha dan gerakan terancang pihak tertentu untuk memastikan Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Ventures (FGV), Datuk Zakaria Arshad, dijadikan ‘kambing hitam’ dalam kemelut syarikat berkenaan dan akhirnya membawa kepada pemecatann­ya.

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang membuat dakwaan itu, berkata motif di sebalik usaha terancang itu perlu disiasat supaya tiada pihak yang bersalah terlepas daripada hukuman.

Sehubungan itu, katanya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang sebelum ini dilantik sebagai wakil bebas menangani kemelut itu, perlu melakukan siasatan.

“Saya difahamkan ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk memastikan Zakaria dijadikan sebagai kambing hitam dan timbul persoalan apakah motifnya ia dilakukan di sebalik gesaan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad yang mahu dua ahli lembaga pengarah FGV meletak jawatan sebelum ini.

“Sebenarnya, ada pihak yang amat takut jika Zakaria kekal sebagai Ketua Eksekutif FGV sebab beliau ada maklumat tertentu, selain bekerjasam­a dengan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adakan siasatan menyeluruh

“Saya memohon supaya Idris membuat siasatan menyeluruh sejauh mana kebenaran perkara ini, apatah lagi timbul persoalan dengan pendirian Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob, yang mahu mengekalka­n ahli lembaga pengarah lama sedangkan mereka sudah terpalit kontrovers­i.

“Kita mahu tahu sama ada kemelut FGV berpunca daripada urus tadbir korporat atau pun agenda perniagaan puak tertentu yang mahu menguasai pengurusan FGV.

“Ini bukan sahaja memberi kesan politik yang negatif, malah kesan buruk kepada harga saham FGV,” katanya.

Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri JASA Johor, di sini, semalam.

Khamis lalu, Sulaiman dilaporkan berkata, beliau meminta supaya semua ahli lembaga pengarah FGV mengekalka­n jawatan masing-masing walaupun ada laporan dua daripada ahli lembaga pengarah dilaporkan enggan melepaskan jawatan selepas digesa berbuat demikian oleh Shahrir.

Sulaiman dilaporkan berkata, kedua-dua ahli lembaga pengarah berkenaan iaitu Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan beberapa minggu lalu, namun beliau meminta mereka terus mengekalka­n jawatan masing-masing.

Sementara itu, Mohd Puad mempertaha­nkan pendiriann­ya sebelum ini iaitu FGV perlu ‘pembersiha­n total’.

“Ini bermakna, lima ahli lembaga pengarah FGV yang dilantik sebelum ini oleh Tan Sri Isa Samad perlu meletak jawatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia