Berita Harian

Halang pasangan berdosa sepanjang hayat

-

Keputusan Mahkamah Rayuan membenarka­n anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ayahnya, seharusnya membimbang­kan umat Islam. Jumhur ulama dan peruntukan Undang-undang Keluarga Islam kebanyakan negeri di Malaysia sudah menetapkan hanya anak yang sah taraf sahaja boleh dinasabkan kepada ayahnya. Hukuman penasaban anak ini adalah antara maqasid Syariah yang perlu dijaga.

Anak yang sah haruslah lahir daripada perkahwina­n diiktiraf bagi menjamin hukum syariah lain seperti pewarisan harta, hubungan mahram, penjagaan anak dan hukum nafkah. Inilah hikmah perkahwina­n dalam Islam yang menjamin keutuhan sistem keluarga. Akad perkahwina­n akan mengikat bapa dengan tanggungja­wab memberi nafkah kepada isteri dan anak selain menjamin kebajikan sosial anak serta isteri. Tanpa ikatan perkahwina­n, mana-mana lelaki boleh terlepas bebas daripada tanggungja­wab ini.

Dalam pada itu, umat Islam harus sedar mereka juga terikat dengan akta dan Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri. Seksyen 2 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutua­n) 1984 melalui Akta 303 mentafsirk­an anak tidak sah taraf sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan daripada persetubuh­an syubhah.

Peruntukan dalam Seksyen 110 pula menyebutka­n: “[Akta 303] Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwina­nnya itu atau dalam masa empat bulan qamariah selepas perkahwina­nnya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.”

Muzakarah Jawatankua­sa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 1981, berdasarka­n dalil dan pendapat jumhur ulama, memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti perkahwina­n kedua pasangan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

Jelas melalui peruntukan akta, bahawa takrifan anak sah taraf yang boleh dibinkan kepada ayahnya ialah anak yang lahir selepas enam bulan sesuatu perkahwina­n berlangsun­g.

Bertepatan hadis Nabi SAW

Pandangan Jawatankua­sa Fatwa Kebangsaan dan Akta Undangunda­ng Keluarga Islam Wilayah Persekutua­n ini adalah bertepatan dengan hadis Nabi yang menyatakan: “anak itu bagi sesiapa yang menggauli ibunya (melalui perkahwina­n yang sah), dan bagi mereka yang berzina itu terhalang (daripada menasabkan anak)”. Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulama dalam menafikan nasab anak zina kepada bapanya.

Kita seharusnya sedar bahawa implikasi anak di luar nikah mempunyai kesan yang sangat besar antaranya seperti yang disebut dalam akta.

Tidak boleh dinasab kepada ayahnya

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada ayahnya, segala nafkah adalah tanggungja­wab ibunya kecuali dalam kes rogol dengan merujuk seksyen 80; Anak tak sah taraf hanya boleh mewarisi bahagian ibunya, manakala anak ini tidak akan mendapat bahagian warisan daripada ayahnya.

Hak perwalian si anak terserah pada ibu. Jika anak perempuan, maka dalam perkahwina­n ia dipegang oleh wali hakim; perkahwina­n anak tidak sah taraf adalah sah sekiranya memenuhi syarat perkahwina­n biasa; penjagaan anak akan dipertangg­ungjawabka­n pada ibu atau saudara mara sebelah ibu; kesan hubungan mahram bagi si anak hanya di sebelah ibu; kematian anak tak sah taraf yang belum baligh adalah menurut agama ibunya.

Pertikaian mengenai nasab seseorang anak seharusnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Sebelum ini sudah banyak kes penentuan nasab yang diputuskan di Mahkamah Syariah antaranya kes Wan Azmi lwn Nik Salwani [1990] dan kes Ismail lawan Kalam (1995). Pihak yang berkaitan seharusnya merujuk kepada Mahkamah Syariah dan menghormat­i keputusan yang dibuat berdasarka­n hukum syarak dan enakmen berkaitan.

Amat menakutkan sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan ini menjadi precedent kepada kes akan datang, iaitu mana-mana anak tidak sah taraf sama ada Muslim atau bukan Muslim boleh dinasabkan kepada ayah biologinya. Pasangan Muslim yang berzina juga dikhuatiri tidak akan berasa bersalah atas perbuatan mereka dan akan secara berterusan hidup dalam perzinaan.

Langkah Jabatan Pendaftara­n Negara yang selama ini hanya mengambil kira status anak melalui perkahwina­n yang sah sahaja untuk urusan pendaftara­n adalah satu langkah amat baik kerana ini dapat mempertaha­nkan maqasid Syariah. Jelas, institusi kekeluarga­an yang sah wajib dipelihara.

Ayah biologi kepada anak tak sah taraf sama sekali tidak berhak dalam isu penasaban anak kerana kesan dosa zina yang dilakukan. Tiada hubungan yang boleh diiktiraf antara bapa dan anak ini. Bagaimanap­un sama sekali tidak bersalah.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia