Berita Harian

Zahid sokong JPN buat rayuan

Tindakan selaras, patuh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad dan Fahmy Azril Rosli bhnews@bh.com.my

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong tindakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) membuat rayuan di Mahkamah Persekutua­n, berhubung keputusan Mahkamah Rayuan membenarka­n anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementeria­n Dalam Negeri khususnya JPN patuh kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menetapkan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dibinkan kepada bapanya, justeru langkah diambil untuk merayu kepada keputusan itu.

“Sebagai umat Islam kita mesti bersatu untuk bersetuju supaya agama Islam dihormati. Kita tidak mahu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dicabar mana-mana pihak, sama ada sebagai individu atau oleh sistem perundanga­n lain yang membuat keputusan di luar ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan. Itu pegangan kita.

“Kita sebagai orang Islam diajar oleh akhlak, apabila diperintah­kan kita hendaklah patuh. Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya bersetuju dengan keputusan Ketua Pengarah JPN memohon supaya keputusan mahkamah itu (Mahkamah Rayuan) dibuat rayuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Malabari Malaysia 2017 di Komplek Surau Malabar Hidayatul Islam Selayang di sini, malam tadi.

Umat Islam diminta bertenang

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menasihati umat Islam negara ini supaya bertenang berhubung isu penggunaan nama Abdullah dikekalkan sebagai bin atau binti bagi anak tidak sah taraf.

Ketua Pengarahny­a, Tan Sri Othman Mustapha, berkata penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehingga keputusan Mahkamah Persekutua­n diperoleh.

“Semoga usaha JPN melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes berkenaan ke Mahkamah Persekutua­n berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Semalam BH melaporkan, JPN mengekalka­n penggunaan nama Abdullah sebagai bin atau binti anak tidak sah taraf, sementara menunggu keputusan selanjutny­a oleh Mahkamah Persekutua­n.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli, berkata sebarang pindaan terhadap pelaksanaa­n semasa hanya akan dipertimba­ngkan selepas keputusan Mahkamah Persekutua­n diperoleh susulan rayuan yang difailkan itu.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan dalam satu penghakima­n penting, memutuskan anak tidak sah taraf boleh ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ bapanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia