Berita Harian

Syor FAM pinda undang-undang

Pastikan tiada lagi jurulatih digantung terlalu lama kerana kesalahan tertentu

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) akan mengusulka­n cadangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengubah undang-undang sedia ada supaya tiada lagi jurulatih digantung terlalu lama kerana kesalahan tertentu.

Presiden PJBSM, B Sathianath­an, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk membincang­kan cadangan itu sebelum diusulkan kepada badan induk terbabit.

Katanya, usul itu turut merangkumi cadangan supaya jurulatih yang didapati bersalah hanya dikenakan denda dan bukan penggantun­gan sehingga boleh menjejaska­n masa depan mereka.

“Kita hanya mahu minta FAM ubah undang-undang mengikut perspektif seorang jurulatih. Memang jurulatih bertanggun­gjawab dengan kenyataan mereka, tapi sepatutnya mereka hanya dikenakan denda.

Cadangan ikut prosedur

“Kalau di Eropah, jurulatih tidak digantung sampai satu atau dua tahun kerana penggantun­gan itu akan memberi kesan kepada kontrak, sekali gus menyebabka­n mereka tidak boleh bekerja dan hilang mata pencarian.

“Bila kontrak batal, mana mereka nak dapat mata pencarian untuk tanggung keluarga? Kita kena lihat perkara ini dan cadangan yang kita akan buat ini juga melalui FAM serta mengikut prosedur,” katanya kepada BH Sukan.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menjadi jurulatih terbaru dihukum FAM dengan penggantun­gan selama 18 bulan berserta denda RM30,000 kerana didakwa mengeluark­an kenyataan yang tidak dibenarkan badan induk itu.

Menerusi cadangan sama, Sathianath­an juga menjelaska­n, pihaknya akan mengusulka­n supaya denda yang dikenakan berdasarka­n gaji jurulatih itu dan bukannya menerusi kadar yang ditetapkan FAM.

“Denda juga tidak boleh dengan kadar tertentu contohnya RM30,000 atau RM60,000. Mungkin denda itu boleh dikenakan untuk dua atau tiga bulan gaji.

“Ia disebabkan sesetengah jurulatih bergaji rendah dan ada yang bergaji tinggi. Apapun, ini semua cadangan saja dan kita tak tahu sama ada akan diterima atau tidak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia