Berita Harian

Dua unit asrama sekolah tahfiz musnah

42 murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain selamat, dipindah ke bangunan kelas

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Seramai 42 murid lelaki Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, di Sepang, dekat sini, ditempatka­n sementara di bangunan kelas, susulan kebakaran yang berlaku awal pagi semalam yang memusnahka­n dua unit asrama sekolah itu.

Guru Besar sekolah itu, Norlida Rasidi, berkata asrama yang dihuni pelajar tahfiz lelaki berusia lapan hingga 12 tahun itu disedari terbakar ketika murid sedang bersiap untuk menunaikan solat tahajud.

“Alhamdulil­lah, tiada kecederaan atau kemalangan yang berlaku kepada pelajar dan mereka sudah dipindahka­n sementara ke bangunan kelas. Ibu bapa juga sudah dimaklumka­n mengenai kejadian.

“Buat masa ini, kami sedang mengumpul keperluan harian pelajar terbabit termasuk pakaian harian, katil dan tilam, malah turut menerima sumbangan diberikan orang ramai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian kebakaran itu juga kali pertama berlaku sejak sekolah berkenaan beroperasi di lokasi berkenaan pada 2011 yang sebelum ini adalah bekas bangunan sekolah tahfiz.

Kumpul dana

“Pihak sekolah akan melancarka­n dana bagi membina bangunan asrama baharu dan orang ramai yang ingin menghulurk­an derma boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 5628 3461 4558 di bawah nama Baitul Barokah Wal Mahabbah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) Khairuddin Jamaludin, berkata dalam kejadian pada jam 4.42 pagi itu, dua blok asrama yang menempatka­n 42 pelajar itu terbakar 100 peratus manakala sebuah bangunan pejabat bersebelah­an pula terbakar 30 peratus.

“Seramai 25 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kebakaran bersama dua jentera dan api berjaya dikawal dalam tempoh setengah jam sebelum operasi pemadaman ditamatkan kira-kira jam 8 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN BOMBA] ?? Keadaan asrama penginapan pelajar tahfiz lelaki Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, di Sepang yang terbakar awal pagi tadi.
[FOTO IHSAN BOMBA] Keadaan asrama penginapan pelajar tahfiz lelaki Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, di Sepang yang terbakar awal pagi tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia