Berita Harian

Kota Lubang

-

Kuala Lumpur lebih sesuai disebut sebagai Kota Lubang. Akronim KL memang tepat dengan nama Kota Lubang. Jalan raya di Kuala Lumpur ini berlubang-lubang di manamana. Lalu sahaja di jalan mana terutama di bawah laluan LRT atau MRT yang sedang dibina, atau mana-mana yang ada kerja pembinaan, malah jalan yang tidak ada apa-apa pembinaan juga tayar-tayar kereta anda akan melanggar lubang-lubang jika tidak terperosok hingga berdentum ke dalam lubang yang tiba-tiba menganga seperti buaya lapar. Ini belum lagi dikira jalan-jalan yang dikorek tiba-tiba untuk dipasang wayar atau paip atau apa sahaja, dan kemudian diturap seperti menimbus tahi anjing. Maka kenderaan yang melalui jalan yang diturap dengan begitu selekeh selepas dikorek itu berdentam-dentum lalu di atasnya seperti melalui jalan di dalam ladang kelapa sawit.

Hati Dolah meletup dengan lubang-lubang di atas jalan kota Kuala Lumpur ini apabila satu hari keretanya pecah tayar terperosok di dalam lubang dalam. Dolah memandu kereta dari bulatan Pahang masuk ke Jalan Setapak. Ketika melalui jalan yang agak lengang, Dolah memandu sedikit laju kerana memotong kereta yang bergerak seperti siput di sebelah lorong kiri. Dolah mengambil laluan di sebelah kanan sekali dan di bawah jalan bertingkat di Jalan Setapak lepas sedikit dari Titiwangsa, tayar kereta Dolah sebelah kanan berdentum terperosok di dalam lubang yang entah bila ternganga di situ. Memang ada pembinaan laluan bertingkat atau MRT di situ. Dolah berasa tayar kanannya pancit, lalu segera berhenti di bahu jalan di deretan kedai di situ. Sebuah kereta dilihat Dolah telah diletakkan di situ, dan Dolah ke hadapan sedikit.

Dolah turun dari kereta dan melihat memang betul tayar keretanya pecah. Tayar kecil bersaiz 185/55R/16 itu segera pecah apabila terperosok dan melantun ke dalam lubang di tengah-tengah jalan tadi. Dolah tidak tahu sama ada rimnya turut bengkok atau tidak. Setahunya bunyi terlanggar lubang itu begitu kuat. Dolah tidak tahu bagaimana boleh ada lubang di tengah jalan di laluan kanan itu. Lebih tidak tahu tadi bagaimana lubang itu boleh ternganga seperti tidak ada majlis bandaran yang bekerja untuk mengambil tahu adanya lubang-lubang yang membahayak­an pengguna jalan raya. Dolah menyumpah-nyumpah, segala binatang yang busuk dan haram bersembur dalam sumpahanny­a. Tidak puas menyumpah Dolah mencarut-carut pula. Dolah melihat tayarnya dengan geram, lebih geram lagi melihat lubang di kejauhan sana, dan lebih geram lagi memikirkan pihak berwajib dan kontraktor yang membiarkan lubang itu ternganga di situ.

Dolah melihat-lihat deretan kedai di situ, mencari bengkel kereta atau kedai tayar. Yang ada cuba bengkel motosikal. Dolah bertambah geram. Hatinya telah letih menyumpah. Dolah melihat kereta yang diletakkan di belakang keretanya. Seorang pemuda sedang bercakap-cakap di telefon. Dolah berjalan menuju ke kereta itu, dan menjenguk ke sebelah kanan kereta pemuda itu. Ya sama. Tayar sebelah kanannya juga pecah seperti kereta Dolah. Tentu kerana lubang itu juga.

Nasib pemuda itu sama dengan Dolah. Pemuda itu mematikan telefonnya, Dolah bertanya, “Pecah juga? Lubang di sana tu kan?”

“Ya, saya kena sama dengan abang.”

“Macam mana diaorang boleh biar lubang dalam macam tu.” Dolah melepas geram lagi. “Tak ada bengkel atau kedai tayar di sini.”

“Di sini tak ada bang, kalau ada pun di atas sana selepas Court Mammoth tu. Jauh bang.” Pemuda itu memberitah­u Dolah. “Saya sedang telefon mekanik saya untuk datang. Bengkelnya tak jauh.”

Dolah mengangguk dengan sebal. “Saya nak pergi tengok lubang tu.” Dolah berlalu turun ke tempat tayarnya terperosok dalam lubang. Dolah melihat lubang itu besar dan dalam. Dolah berniat untuk meletakkan sesuatu untuk memberitah­u tentang lubang itu kepada pemandu lain. Tetapi tidak mungkin, kerana jalan tiga lorong ini lebar dengan kereta bergerak laju. Lubang itu di jalan kanan sekali, laluan memotong. Ia tentu membahayak­an nyawa Dolah. Belum sempat dia menutup lubang tentu dia sudah melambung dihentam kereta yang laju-laju itu. Sebuah kereta bergerak laju di lorong kanan itu. Pow! Satu bunyi kuat berdentum. Dolah melihat kereta itu bergerak dan kemudian berhenti jauh di hadapan. Tentu pecah lagi tayarnya. Dolah tidak tahu berapa kereta lagi akan menjadi mangsa lubang ini. Dolah tidak sanggup melihat bencana ini dan kembali ke keretanya.

Mekanik pemuda itu sampai dengan motosikal. Sebuah lori penunda di hadapan sedang menunda kereta pemuda itu. Dolah tidak sanggup untuk menukar tayar di tengah panas terik matahari ini.

Dolah mendekati mekanik itu dan bertanya sama ada boleh menukar tayarnya. Mekanik yang baik hati itu bersetuju dan menukar tayar kereta Dolah. Tayar yang pecah dan entah bengkok atau tidak rimnya itu ditukar dengan tayar simpanan.

“Berapa ringgit bos,” tanya Dolah. Tidak ada kerja dan bantuan percuma di Kota Lubang ini.

“15 ringgit.”

Dolah menghulur wang kepada mekanik itu sambal mengucapka­n terima kasih. Dolah memandu keretanya dengan tayar simpanan ganti itu, untuk menyelesai­kan urusannya dan kembali ke rumah. Hati Dolah meruap dan meluap panas di tengah panas terik Kota Lubang ini. Ketika memandu pulang Dolah melalui jalan Setapak itu lagi, dan melihat-lihat tempat lubang

ternganga itu. Dolah tidak dapat melihatnya tetapi dia pasti lubang itu masih ternganga memecahkan tayar-tayar kereta yang melaluinya. Dolah melihat sebuah van sekolah tersadai di tempatnya berhenti tadi. Dolah menyumpah dan menyeranah pihak majlis dan kontraktor yang menjahanam­kan segala kenderaan pengguna jalan raya dengan lubang mereka.

Dolah tidak tahu sampai bila Kuala Lumpur ini tidak ada lagi pembinaan jalan yang membu- atkan kota ini seperti kota yang tidak pernah siap. Perancanga­n bandar kota ini Dolah fikir tidak pernah jauh ke hadapan, sepatutnya sekali dirangka mungkin sepuluh tahun cukup untuk menampung pertambaha­n kenderaan. Perancanga­nnya tidak pernah lebih dua tiga tahun dan kemudian adalah mana-mana jalan dilebar, dibuat laluan bertingkat dan sebagainya.

Setiap tahun akan dipastikan bahawa kontraktor-kontraktor jalan akan sentiasa mempunyai kerja. Lebih hebat lagi kontraktor ini pada fikiran Dolah seperti mempunyai kuasa yang besar. Mereka boleh menampal jalan yang mereka lakukan pembinaan dan korek sesuka hati dengan tampalan yang buruk, selekeh dan murah - tentunya mereka mendapat keuntungan yang besar dengan kerja yang pemalas ini. Baik kontraktor swasta atau majlis, ia sama saja.

Kontraktor-kontraktor di

Kota Lubang ini seperti raja, mereka adalah kapitalis yang hidup dengan kerja mencari keuntungan semaksimum mungkin dengan kerja mereka yang buruk oleh kerana mencari kos yang paling rendah. Pihak majlis dan pihak pusat yang bertanggun­gjawab ke atas kerja raya seperti tidak pernah peduli tentang kesusahan pengguna jalan raya alias rakyat ini. Kos menggunaka­n kenderaan di

Kota Lubang ini tinggi, kerana selain cukai jalan dan insurans, pengguna perlu membayar kos tayar pecah terperosok dalam lubang, malah setiap minggu perlu pula membayar saman letak kereta dan kapit tayar. Majlis cukup berkesan dan handal dalam bab menyaman ini - cepat dan rajin - berbeza kalau dalam bab membaiki dan menampal lubang - lembap dan malas. Mungkin mereka ingin mengekalka­n identiti yang menepati nama kota ini - Kota Lubang.

Sebuah negara seperti kata Hobbes adalah raksasa Leviathan yang melindungi rakyatnya. Perlindung­an ini menghasilk­an keselesaan dan kemakmuran, melalui peraturan dan tindakan negara untuk mengekang pihak yang berpengaru­h dan mempunyai wang daripada menindas rakyatnya yang lemah dan miskin. Raksasa Leviathan akan memamah kaum kapitalis yang mencari keuntungan dengan menyusahka­n rakyat ini. Tetapi hari ini raksasa Leviathan ini juga nampaknya dibela oleh kaum kapitalis dan berbalik digunakan untuk memamah rakyat, atau sekurang-kurang menjaga keselesaan dan kepentinga­n kaum kapitalis lebih daripada menjaga kepentinga­n rakyat ramai - yang tersepit dan terhimpit oleh segala kenaikan dan bil-bil kehidupan yang memerah mereka sehingga ke akhir hayat.

Kota Lubang ini, sebenarnya adalah medan pertempura­n antara Godzilla dengan Ultraman. Berlubang-lubang dipijak dua raksasa yang bertempur hebat. Tembakan laser Ultraman itulah yang melubang-lubang jalan di sini. Hempasan badan Godzilla pula meranapkan landskap kota membuatkan Kota Lubang ini dipenuhi binaanbina­an separuh siap. Ultraman nampaknya telah tersadai dihempuk Godzilla dengan cahaya berkelip-kelip di dadanya. Kini datang raksasa Leviathan bertempur pula dengan Godzilla. Kontraktor dan kaum kapitalis yang tadi cemas kerana pertempura­n terhenti kini menjerit dan bertepuk tangan melihat raksasa Leviathan terus bertempur dan akan terus menghasilk­an lubang-lubang dan runtuhan yang akan terus memberikan mereka kerja untuk mereka kaut kekayaan sehingga kiamat.

Dolah sampai di kawasan rumahnya, apartmen-apartmen yang berceracak di Kota Lubang ini. Jam sudah hampir pukul empat petang, dan Dolah ingin makan di restoran tempat biasanya. Dolah mencari tempat letak kereta, tetapi seperti biasa mencari tempat letak kereta seperti mencari seketul emas di Kota Lubang ini. Dolah memikirkan membeli bungkus sahaja untuk dibawa makan di rumah, dan meletakkan kereta sebentar di bahu jalan. Dolah bergegas masuk memesan makanan. Lambat pula makanan dimasak hari ini. Sebaik mendapat pesanannya Dolah melihat keretanya telah dikapit tayarnya oleh pihak majlis yang sangat efektif itu. Dolah mengetap bibir menahan berangnya. Dolah sudah letih menyumpah dan menyeranah.

Dolah menelefon pihak pengurusan untuk membuka kapit tayarnya. Hampir dua jam baru penguatkua­sanya tiba membuka kapit tayar setelah Dolah membayar denda RM50. Saman turut diberikan kepada Dolah. Dolah sudah kehilangan tenaga dan dayanya untuk marah. Kelaparan dan sakit hati tidak tahu mahu ditujukan kepada siapa. Setelah itu Dolah pulang ke rumah dan makan makanannya. Dolah tidak mampu tersenyum dan berfikir apa-apa lagi. Selepas solat, hati Dolah tenang dan aman kembali. Dolah mencapai buku untuk dibaca. Dolah mengambil novel bertajuk Perjuangan yang Sia-sia terjemahan daripada yang ditulis oleh John Steinbeck.

Di dalam novel ini Dolah membaca, “Di dada mereka berkobar api kemarahan, tetapi tidak sama dengan yang saya rasakan. Mereka tidak marah kepada majikan atau penjual daging. Yang mereka benci adalah seluruh sistem yang menimbulka­n penindasan oleh majikan terhadap buruhburuh .... ” Dolah tertidur di kerusi malas di beranda apartmentn­ya luas - letih dan tidak bermaya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia