TH jamin selesai segera visa lewat
Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi bekerjasama tangani isu
Jemaah haji yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini tidak perlu risau mengenai isu kelewatan visa, kerana urusan terbabit sedang diselesaikan bersama Kerajaan Arab Saudi.
Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya menyedari kebimbangan sebilangan kecil jemaah berhubung isu yang berpunca daripada proses perundangan kerajaan Arab Saudi, sehingga mengalami kelewatan penerbangan ke tanah suci.
Beliau berkata, kelulusan untuk mendapat visa perlu melalui proses terperinci membabitkan setiap jemaah haji termasuk data peribadi, perjanjian tempat penginapan di Makkah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan dan sajian, serta butiran bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi.
“Kelewatan pengeluaran visa disebabkan jumlah permohonan yang terlalu tinggi dalam sistem, yang terpaksa mengendali jutaan permohonan jemaah haji dari seluruh dunia.
Sentiasa pantau isu
“Bagaimanapun Tabung Haji dan kerajaan Arab Saudi sentiasa bekerjasama dan memantau isu berkenaan untuk menyelesaikan urusan visa jemaah haji terbabit, termasuk mencetaknya pada hari cuti hujung minggu.
“Justeru, kita optimis masalah ini dapat diselesaikan dan semua jemaah terpilih akan dapat meneruskan perjalanan ke Tanah Suci,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Pindah Milik Perumahan Penempatan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) Desa KEDA Sadek, dekat Kupang, di sini.
Pada majlis itu, 110 penduduk menerima hak milik kediaman masing-masing yang dihuni lebih 20 tahun, dengan empat lagi penampatan PPRT KEDA iaitu di Banggol Petai, Bandar, Keledang dan Ulu Bakai dijangka menerima hak milik sama sebelum berakhir tahun ini. Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Arifuddin Habib.
Mengenai jemaah haji yang terbabit dalam isu visa berkenaan, Abdul Azeez berjanji, mereka akan diterbangkan ke Tanah Suci sebaik visa diperoleh dan sementara itu, Tabung Haji menyediakan penginapan dan makanan di Kompleks Haji Kelana Jaya yang akan ditanggung pihaknya.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, TH memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh jemaah haji berhubung isu kelewatan visa itu sambil meminta mereka bersabar sementara proses mendapatkan dokumen perjalanan itu sedang giat dijalankan.