Syor guna SOSMA bendung anasir ancam negara
Tuaran: Tindakan tegas termasuk menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu digunakan ke atas pihak di negara ini yang menyalurkan dana kepada agensi asing untuk memburukkan kerajaan di luar negara.
Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Noor, menyifatkan langkah itu sebagai wajar kerana tindakan membiayai agensi asing untuk menghentam kerajaan menyebabkan negara terdedah kepada ancaman keselamatan dari luar.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi membendung anasir negatif, sama ada di dalam atau luar negara daripada terus menyebarkan berita tidak betul mengenai kerajaan.
Hantar nota bantahan
Pada masa sama, katanya, Wisma Putra perlu menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di negara ini berikutan campur tangan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi Jabatan Keadilannya (DOJ).
Dua perkara itu antara usul diluluskan UMNO bahagian berkenaan pada mesyuarat perwakilannya semalam yang dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Sabah merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Hajiji yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata campur tangan asing ada kaitan dengan pihak tertentu dalam negara yang berniat jahat untuk menjatuhkan kerajaan kerana kepentingan peribadi sempit dan tujuan ekonomi.
Bersatu menentang anasir luar
“Berikutan itu, UMNO Tuaran mengusulkan pemimpin dan ahli parti bersatu menentang anasir luar daripada campur tangan urusan negara dengan menjadi alat untuk melemahkan Barisan Nasional (BN) dan melumpuhkan UMNO,” katanya.
Hajiji turut mencadangkan UMNO dan BN menggunakan kuasa politik yang ada bagi menyekat sumber dana yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi membiayai pihak asing untuk menyebarkan berita memburukkan negara.
Usul lain UMNO Tuaran ialah terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mensejahterakan rakyat tanpa menghiraukan fitnah dan dakyah dilemparkan oleh bekas pemimpin UMNO.
pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi membendung anasir negatif” Hajiji Noor, Ketua UMNO Bahagian Tuaran