Malaysia bimbang serangan terhadap Makkah: TPM
Petaling Jaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap serangan peluru berpandu oleh puak Houthi Yaman ke atas Makkah, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jemaah haji.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selain menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Arab Saudi, Malaysia akan bekerjasama dalam memastikan keselamatan kota suci itu.
Katanya, Malaysia tidak mahu mana-mana negara atau kumpulan bersenjata tertentu menyasarkan Makkah dan Madinah, sebagai lokasi menimbulkan ketegangan.
“Kebimbangan yang disuarakan ini ada asasnya kerana kita juga menghantar jemaah haji ke sana (setiap tahun).
“Kita tidak mahu juga ada campur tangan oleh pihak luar yang mungkin akan mengganggu kestabilan di Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya di sini, semalam.
Tetap bersama Arab Saudi
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, mengharapkan tidak ada serangan atau provokasi disasarkan puak terbabit menjelang musim haji yang akan tiba kira-kira sebulan daripada sekarang.
“Dalam hal ini, kita tetap bersama Arab Saudi khususnya tindakan pentadbiran Raja Salman (Abdulaziz Al Saud) yang memperketatkan kawalan terhadap jemaah haji yang ada di sana.
“Hanya sebulan lagi sebelum wukuf, kita harap tidak ada manamana
Dalam hal ini, kita tetap bersama Arab Saudi khususnya tindakan pentadbiran Raja Salman (Abdulaziz Al Saud) yang memperketatkan kawalan terhadap jemaah haji yang ada di sana” Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri
kumpulan pengganas cuba mengambil kesempatan dengan musim ibadat itu, sehingga mengundang kejadian yang sama sekali tidak diingini,” katanya.
Pada Khamis lalu, pasukan keselamatan Arab Saudi memintas sebuah peluru berpandu balistik dikenali sebagai ‘Burkan-1’, yang disasarkan pada lokasi 69 kilometer dari Makkah di kawasan Alwasliya di Wilayah Yaif. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan terbabit.
Bertukar maklumat, risikan
Pada Jumaat lalu, media antarabangsa melaporkan puak Houthi mengesahkan serangan peluru berpandu balistik Burkan-1 ke Arab Saudi tetapi berkata serangan itu disasarkan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, lapangan terbang paling sibuk di negara itu.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau sudah berhubung dengan Putera Mahkota Mohammed Salman, yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi, mengenai serangan itu dan bersetuju untuk bertukar maklumat dan risikan mengenainya.
“Pendirian Malaysia adalah jelas, kita tak berbelah bahagi mempertahankan dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, semalam. Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.