Berita Harian

Pemohon jawatan kerajaan diwajib isytihar hutang

-

Kuala Lumpur: Isu penjawat awam liat melunaskan hutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak sepatutnya timbul lagi kerana semua pemohon jawatan kerajaan yang baharu kini diwajibkan mengisytih­arkan hutang masing-masing.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata syarat baharu terbabit dipersetuj­ui dalam rundingan meja bulat di antara Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA), CUEPACS dan PTPTN pada 2015.

Beliau berkata, persetujua­n itu susulan pendedahan lebih 130,000 penjawat awam termasuk dalam gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya membayar balik sekaliseka­la, seperti didedahkan akhbar ini pada Jun 2015.

Katanya, tindakan itu juga bertujuan mengesan penjawat awam gagal, degil dan enggan membayar semula pinjaman mereka sehingga menjejaska­n imej serta kredibilit­i penjawat awam.

Pantau pembayaran hutang

“Pemohon jawatan kerajaan kena mengisytih­arkan hutang mereka, baru layak memohon. Tindakan ini supaya kita boleh pantau mereka yang tidak bayar hutang, bertanggun­gjawab menyelesai­kan hutang masing-masing.

“Saya melihat kes liat bayar hutang ramai dalam pekerja swasta. Kalau ada kes penjawat awam masih liat bayar hutang PTPTN, jumlahnya mungkin tidak ramai, kurang 10 peratus sahaja,” katanya kepada BH.

Azih mengulas pendedahan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang masih ada peminjam PTPTN berpendapa­tan RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, masih enggan membuat bayaran balik dan ada antaranya, membayar di bawah paras kelayakan mereka iaitu RM50 sebulan.

CUEPACS tak bantah kenakan hukuman

Mengulas lanjut, Azih berkata, CUEPACS tidak akan membantah sekiranya, Johari menggunaka­n kuasanya sebagai Menteri Kewangan mengenakan hukuman termasuk, membuat pemotongan separuh gaji penjawat awam secara mandatori bagi menyelesai­kan hutang PTPTN.

Beliau berkata, ia berikutan kes hutang PTPTN tidak diselesaik­an sudah banyak kali dibincangk­an pihak berkenaan dari semasa ke semasa.

“Saya menasihatk­an penjawat awam supaya konsisten membayar semula pinjaman mereka. Jangan melatah bila pihak berkenaan membuat keputusan mengutip hutang PTPTN dengan cara tidak dipersetuj­ui.

“Penjawat awam ‘senior’ kena tunjukkan contoh yang baik kepada ‘junior’ mereka, supaya pelajar baharu boleh menikmati pinjaman sama seperti mereka.

“Saya terima aduan, ada pelajar sekarang hanya diberikan pinjaman PTPTN 50 peratus, selebihnya ditanggung sendiri. Ini semua kesan daripada mereka yang tidak bertanggun­gjawab dan liat bayar hutang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia