MBI akan naik taraf Osborne Street
Tunggu peruntukkan baiki infrastruktur, pencahayaan untuk keselesaan pengunjung
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melakukan kerja naik taraf bagi membangunkan semula Medan Selera Taman Kanak-kanak, di sini, yang juga dikenali sebagai ‘Osborne Street’ dalam kalangan penduduk bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata proses naik taraf itu dilakukan secara berperingkat membabitkan pelbagai aspek terutama pada bahagian taman.
“Pada ketika ini kita memang sedang melakukan kerja menaik taraf, bahagian taman sudah selesai dicat dan pencahayaan juga sudah ditambah.
“Bahagian tandas yang menjadi antara permasalahan utama, kita sudah dapat peruntukan untuk meroboh dan membina tandas baharu bagi menampakkan imej yang lebih baik.
“Alat permainan yang sudah rosak juga sedang dalam proses untuk dinaik taraf serta aspek pencahayaan yang mungkin perlu ditambah... segalanya termasuk di dalam perancangan dan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya kepada Halaman Kota.
Zamri berkata, pada masa sama, pihaknya juga sedang mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki pelbagai perkara termasuk menaik taraf gerai di kawasan berkenaan.
“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk memantau kawasan berkenaan bagi melihat apa lagi perkara yang perlu ditambah, terutama yang membabitkan bahagian taman,” katanya
Berkenaan penyewa gerai makanan yang mengamalkan konsep Ali Baba di situ, beliau berkata, sudah meminta pegawainya untuk menyemak semula peniaga di kawasan berkenaan.
“Kita akan beri pada orang yang betul-betul hendak berniaga, dia tidak boleh menjadikan aset MBI sebagai modal untuk membuat keuntungan atas angin.
“Malah, dalam syarat perniagaan juga kita sudah menetapkan, walaupun peniaga sudah membayar sewa bulanan tanpa gagal dia perlu juga buka kedai. Jadi, walaupun dia membayar sepenuhnya, kita akan mengambil tindakan untuk menggantikan kepada orang lain jika dia tidak membuka gerai,” katanya.
Tumpu aspek kebersihan
Katanya, ada juga peniaga yang menjadikan gerai berkenaan sebagai stor simpanan barang.
“Jika ia berlaku, kita akan memberi amaran dan terus memberi notis, kerana kita hendak gerai itu dibuka dan tidak boleh dijadikan pejabat atau stor simpanan,” katanya.
Halaman Kota baru-baru ini menyiarkan laporan berhubung medan selera berkenaan yang satu ketika dahulu begitu popular dan meriah dengan pengunjung yang datang untuk beriadah sambil menikmati makanan enak yang ditawarkan peniaga di situ, kini semakin lesu.
Ini berikutan kemudahan yang semakin usang selain tidak terurus seperti longkang yang dipenuhi sisa minyak serta tandas yang rosak selain tempat duduk yang rosak.
Medan selera yang terletak di tepi persimpangan Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Tahwil Azhar itu yang pernah dikenali dengan nama ‘Angel Park’ atau ‘Osborne Street’ itu sering menjadi tumpuan penggemar makanan terutama ‘juadah wajib makan’ seperti Popiah S S Ali dan Sate Endut.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, baru-baru ini berkata, kawasan medan selera itu semakin suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya melihat aspek kebersihannya sangat mengecewakan terutama dari segi bau dan keadaan longkang yang agak kotor serta menimbulkan perasaan kurang senang pengunjung.
“Walaupun di parit besar mempunyai perangkap sampah, dari segi kualiti, airnya masih tetap tercemar dan akan mengganggu ekosistem kawasan sungai,” katanya.
Selain itu katanya, landskap sedia ada di situ juga perlu diceriakan serta aspek pencahayaan yang menyebabkan ia menjadi tempat melepak dan tidur golongan gelandangan serta penagih dadah sehingga membuatkan ibu bapa takut hendak melepaskan anak bermain di situ.