Berita Harian

DAP perlu hantar laporan kajian kepada kementeria­n

Laporan perlu untuk dinilai, peroleh kelulusan

- Oleh Azzman Abdul Jamal

Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menghantar laporan kajian kepada Kementeria­n Kerja Raya sekiranya ingin mendapat kelulusan pembinaan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata walaupun Pulau Pinang mendakwa serius ingin meneruskan projek terbabit, kementeria­nnya masih belum menerima sebarang laporan kajian daripada mereka.

“Sebelum ini, mereka dakwa kajian siap lebih 80 peratus, tapi disebabkan tiada jawapan, kita tanya pada Februari lalu dan aturkan perjumpaan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, EXCO, perunding dan kontraktor, sebulan kemudian.

Belum terima laporan

“Mereka janji semua kajian dapat diselesaik­an Jun lalu, tapi sehingga kini kami tidak menerima apa-apa,” katanya ketika melawat projek naik taraf Jalan Bayan Lepas pada Siri Jelajah FT Roadpedia Zon Utara, di sini semalam.

Beliau berkata, selagi laporan kajian itu tidak dihantar kepada kementeria­nnya, projek terbabit tidak boleh mendapat kelulusan Kerajaan Persekutua­n.

Sementara itu, Fadillah berkata, dua projek naik taraf jalan Persekutua­n di Pulau Pinang dan Kedah, masing-masing dijangka siap akhir tahun ini dan Mei depan, bakal memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri itu.

Projek ikut jadual

Beliau berkata, projek naik taraf jalan Persekutua­n FT006 sepanjang tiga kilometer dari Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar ke Sungai Tiram di sini dengan kos lebih RM207 juta siap 93 peratus dan dijangka dibuka kepada orang ramai, 23 Disember ini.

Projek naik taraf jalan Persekutua­n FT001 di Yan, Kedah dengan kos RM225 juta pula, katanya, kini mencapai tahap 77 peratus dan dijangka siap sepenuhnya 23 Mei depan, menghubung­kan Jambatan Pulau Bunting ke Lebuhraya Utara-selatan.

 ?? [FOTO MIKAIL ONG/BH] ?? Fadilah (empat dari kiri) melawat tapak projek naik taraf jalan Persekutua­n FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Pulau Pinang, Bayan Lepas.
[FOTO MIKAIL ONG/BH] Fadilah (empat dari kiri) melawat tapak projek naik taraf jalan Persekutua­n FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Pulau Pinang, Bayan Lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia