Berita Harian

Jambu hibrid Unda popular di Rompin

Kacukan jenis Lohan, GU8 lebih manis serta rangup

- Oleh Mohd Rafi Mamat

Promosi secara percuma selama setahun ternyata membawa keuntungan kepada Che Soh Haron, pengusaha jambu hibrid Unda yang hanya terdapat di sini apabila semakin mendapat permintaan menggalakk­an daripada penggemar dan pemborong buah-buahan tempatan.

Jambu Unda adalah kacukan jenis Lohan dan GU8 lebih manis dan rangup serta sesuai dimakan dengan pencicah asam limau dihasilkan sendiri oleh Che Soh yang mengusahak­an projek jambu berkenaan di ladangnya seluas 1.2 hektar di Kampung Bukit Serdang, dekat sini.

“Pada peringkat permulaan jambu jenis Unda berada di pasaran daerah ini sambutan begitu hambar, masyarakat setempat seolah takut untuk mencuba buah berkenaan walaupun diberi secara percuma.

“Dengan kesungguha­n saya mengadakan pelbagai promosi, termasuk memberi makan secara percuma dan akhirnya sekarang jambu jenis Unda mendapat permintaan menggalakk­an,” katanya, ketika ditemui, di sini, semalam.

Che Soh, 48, yang pernah bertugas sebagai Pengurus Ladang Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutua­n (FELCRA) lebih 18 tahun sebelum berhenti dan memberi fokus kepada ladang jambu berkata, promosi dengan cara memberi hirisan jambu kepada pelanggan merasa adalah kaedah terbaik bagi memperkena­lkan jambu Unda.

Beliau yang turut mengusahak­an ladang seluas 7.2 hektar di Kampung Sepayang, dekat sini, berkata kebanyakan pelanggan yang mencuba untuk kali pertama pasti akan datang semula ke kedainya untuk mendapatka­n jambu itu dengan memberitah­unya kemanisan jambu kacukan itu menjadi kelebihan berbanding jambu jenis lain.

Jual ikut gred

Katanya, jambu itu dijual dengan harga antara RM5 hingga RM6 sekilogram mengikut gred yang turut menjadi faktor pengguna memilih jambu jenis berkenaan yang kini turut diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini dan pelancong asing.

“Sokongan kuat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin yang menyediaka­n kedai jualan hasil pertanian di Sungai Puteri, di sini selain membantu aktiviti promosi menambahka­n lagi semangat saya untuk terus memajukan projek tanaman jambu jenis Unda.

“Kini setiap hari saya mampu menjual jambu antara 100 hingga 150 kilogram termasuk jualan secara hirisan ke sekolah turut dilakukan mengikut permintaan. Terdapat juga pemborong yang datang ke kedai membeli secara borong selepas membuat tempahan,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata, ladang jambu Unda yang diusahakan sejak enam tahun lalu kini semakin berkembang baik apabila pengeluara­n buah lebih 12 tan setahun selain menghasilk­an anak pokok jambu menggunaka­n teknik tut yang dijual dengan harga RM16 hingga RM20 sepokok.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Rompin, Datuk Md Rusli Ismail berkata, pihaknya akan terus membantu pekebun berkenaan memajukan projek tanaman jambu Unda dan menjadikan­ya produk pertanian terbaru di daerah ini.

 ?? [FOTO MOHD RAFI MAMAT/BH] ?? Che Soh bersama jambu Unda di kedai Pertubuhan Paladang Kawasan (PPK) Rompin di Sungai Puteri.
[FOTO MOHD RAFI MAMAT/BH] Che Soh bersama jambu Unda di kedai Pertubuhan Paladang Kawasan (PPK) Rompin di Sungai Puteri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia