Berita Harian

Sifat simpati jerat wanita sertai Daesh

Gerakan militan hanya ambil masa tiga hari pengaruhi golongan hawa

- Oleh Saadiah Ismail saadiah_ismail@bh.com.my

Sifat semula jadi wanita yang mudah simpati menjadi antara penyebab mengapa golongan ini mudah terjebak dan sanggup menghambak­an diri dalam kumpulan militan Daesh.

Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, berkata militan Daesh ini adalah sebuah kumpulan sistematik dan mereka bijak untuk mempengaru­hi orang ramai menyertain­ya.

Katanya, dengan hanya melakonkan aksi dan lagu menyeru ke arah jihad di dalam laman Youtube, wanita yang cetek ilmu agama ini mudah bersimpati dan akhirnya terjebak.

“Bagi wanita berpendidi­kan, mereka mudah terjebak menerusi pembacaan majalah, laman web dan blog, tetapi bagi yang ingin mengetahui lebih pantas lagi menerusi laman sosial.

“Daripada situ militan Daesh ini akan memainkan peranan dengan cara menghubung­i mereka secara peribadi dan cuba menanamkan ideologi jihad mengikut cara mereka.

“Tetapi kumpulan ini juga berhati-hati kerana bimbang sekiranya individu berkenaan adalah ejen perisik dan sebagainya,” katanya ketika sesi Wacana Tun Fatimah Hashim bertajuk Daesh, Jihad dan Wanita: Sensasi dan Manipulasi Atas Nama Agama anjuran Pusat Kepimpinan Wanita UKM, baru-baru ini.

Wanita mudah teruja

Wan Fariza Alyati berkata, apabila simpati timbul, lama-kelamaan mereka mula menyokong dan teruja untuk terbabit sama di rekrut menjadi sebahagian pejuang Daesh.

“Justeru, tidak mustahil ia hanya mengambil masa selama tiga hari sahaja untuk mempengaru­hi wanita menyertai militan, selain tidak mempunyai pegangan agama yang kuat,” katanya.

Beliau berkata, selain itu pembabitan wanita juga disebabkan oleh wujudnya kekecewaan apabila dunia Islam dalam kekacauan, ingin mencapai visi masyarakat unggul dan sebagai jalan merealisas­ikan visi menghapus dosa sendiri.

“Di Barat, kebanyakan wanita Islam menyertai kumpulan Daesh kerana kecewa dengan sistem yang tidak menyokong mereka.

“Kesukaran berasimila­si juga menjadi faktor mereka terpinggir dan akhirnya melahirkan rasa tidak puas hati untuk menentang di barat.

“Sementara itu, di negara kita pula, kebanyakan wanita yang terbabit ditanamkan dengan ideologi untuk kebebasan dan memberi ‘syurga’ kepada diri sendiri” katanya.

Pengaruhi wanita muda

Wan Fariza Alyati berkata, doktrin dan sumber Islam akan terus menjadi bahan manipulasi yang diadun dengan aksi sensasi melalui teknologi dan media sosial.

Walaupun sasaran propaganda dilihat memfokus kepada lelaki, namun kesannya turut mempengaru­hi wanita muda. Ia bukan sahaja mewujudkan golongan pengganas wanita, tetapi lebih tragis menjadikan wanita sebagai ‘harta rampasan perang.’

“Antara mangsa eksploitas­i propaganda Daesh ialah pelajar Jurusan Usuluddin dari Universiti Malaya, Siti Noor Aishah yang pernah melafazkan ikrar taat setia kepada pemimpin Daesh, Abu Bakr al-baghdadi.

“Sementara itu luar negara pula ialah Dian Yulia Novi dari Jakarta dan Ika Puspitasar­i dari Bali yang ditahan pada Disember 2016 kerana mahu menjadi pengebom berani mati,” katanya.

Kanak-kanak terdedah

Tidak dinafikan, kuasa media sosial menjadi medan penting kepada kumpulan Daesh sebagai perantara bagi merekrut lebih ramai pengikut, terutama wanita menyertai kumpulan militan berkenaan.

Wan Fariza Alyati berkata, tidak mustahil ia mampu mempengaru­hi generasi muda dalam tempoh terdekat, justeru sekatan segera perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mengelakka­nnya daripada berlaku.

“Biarpun ada majalah sudah disekat, tetapi sumber Youtube masih lagi terlepas dan sebuah majalah iaitu Dabiq masih lagi boleh dibaca.

“Terbaru ialah majalah Rumiyah yang disasarkan kepada orang Barat,” katanya.

Di samping itu, beliau berharap kefahaman dan maksud sebenar mengenai jihad juga harus diterapkan seawal peringkat sekolah rendah.

“Ini memandangk­an kanak-kanak terdedah dengan penggunaan internet dan berpotensi untuk terpengaru­h,” katanya.

Walaupun sasaran propaganda fokus kepada lelaki, namun kesannya pengaruhi wanita. Ia bukan sahaja mewujudkan pengganas wanita, tetapi lebih tragis menjadikan wanita sebagai harta rampasan perang” Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM

 ?? [FOTO NURUL SHAFINA JEMENON/BH] ?? Peserta sesi Wacana Tun Fatimah Hashim bertajuk Daesh, Jihad dan Wanita: Sensasi dan Manipulasi Atas Nama Agama mendengar penerangan Wan Fariza Alyati di UKM, baru-baru ini.
[FOTO NURUL SHAFINA JEMENON/BH] Peserta sesi Wacana Tun Fatimah Hashim bertajuk Daesh, Jihad dan Wanita: Sensasi dan Manipulasi Atas Nama Agama mendengar penerangan Wan Fariza Alyati di UKM, baru-baru ini.
 ??  ??
 ??  ?? Keratan akhbar BH pada 14 Mac lalu mengenai penahanan wanita yang terbabit Daesh.
Keratan akhbar BH pada 14 Mac lalu mengenai penahanan wanita yang terbabit Daesh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia