Lutfi tinggalkan jejak penting dalam sastera, linguistik
Dunia persuratan Melayu kehilangan tokoh. Drs Lutfi Abas yang terkenal sebagai ahli bahasa dan sarjana sastera Melayu dijemput Allah pada 6.21 petang, 25 Julai lalu sesudah mengalami serangan angin ahmar pada jam 2 pagi hari yang sama. Jenazahnya selamat dikebumikan pada 10 malam di tanah perkuburan dekat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.
Sebelum itu, sesekali saya bertanya khabarnya kepada putera sulungnya Adlan melalui Facebook. Sejak beberapa bulan lalu, Allahyarham uzur dan kerap ke hospital untuk mendapat rawatan. Kali akhir saya menemuinya di rumahnya di Kelana Jaya pada 2007, sesudah beliau bertugas 20 tahun di Universiti Brunei Darussalam (UBD). Apabila saya ditugaskan di Beijing pada 2008, kami hanya berhubung sekali-sekala melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ketika kembali ke tanah air untuk menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya cuba menghubunginya, tetapi telefon tidak pernah berjawab. Ada teman mengatakan beliau meninggal dunia, lalu saya berusaha mengesan puteranya dan syukur menemukan Adlan. Lega saya apabila diberitahu ayahnya ketika itu sihat dan berpindah ke Melaka. Keinginan menziarahinya tertangguh hari demi hari walaupun kerap juga ke Melaka atas tugas rasmi sehinggalah saya ditugaskan semula ke Beijing pada 2016.
Kini hasrat menziarahinya tinggal sebagai niat tidak tercapai. Ikatan jiwa dengan beliau agak kuat kerana beliau pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang penyelidikan linguistik. Ketika itu beliau pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM). Beliaulah kali pertama melatih saya dan rakan-rakan Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) melaksanakan penyelidikan lapangan dalam bidang bahasa dengan memilih petempatan Orang Asli di Gombak sebagai tempat latihan amali.
Hubungan akrab
Hubungan terjalin lebih akrab apabila saya dilantik menjadi editor dan kemudian Ketua Editor di Mcgraw-hill FEP International kerana beliau menulis buku teks Bahasa Melayu. Hubungan kami bertukar menjadi sahabat, terutama melalui Pak Asraf, iaitu teman baiknya dalam bidang linguistik dan sering bertemu untuk membincangkan isu linguistik. Saya yang dijadikan anak angkat oleh Pak Asraf dan tinggal di rumahnya selama enam bulan, kerap ikut serta dalam perbincangan itu dan sesekali ke rumah Pak Lutfi.
Apabila saya berpindah tugas ke DBP, hubungan kami berterusan kerana beliau antara ahli bahasa yang aktif menulis untuk majalah dan kemudian Jurnal Dewan Bahasa yang saya pimpin. Sering pula beliau saya undang untuk membimbing bengkel bahasa. Kerjasama lebih erat terjalin apabila sebuah penerbit meminta kami menyusun kamus untuk pelajar sekolah menengah.
Beliau yang lahir pada 1937 dan berasal dari Palembang, Sumatera berhijrah ke Malaysia pada dekad 1960-an dan menjadi pensyarah di UM bermula 1967 hingga 1986. Beliau seangkatan ahli bahasa di UM, antaranya Prof Dr Asmah Omar, Prof Datuk Dr Nik Safiah Karim, Dr Raja Mukhtaruddin Dain dan Zaharah Buang. Antara bukunya berdampak besar, termasuklah Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu
yang menjadi teks linguistik di UM dan UKM ketika itu. Perbandingan Tatabahasa Melayu-inggeris-mandarin-tamil dalam dua jilid pula ialah buku analisis bandingan antara empat bahasa yang pertama dan satu-satunya dalam persuratan Melayu.
Apabila pada 1981 saya melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Sastera, beliau senang hati bersedia menjadi penyelia. Walaupun beliau lemah-lembut, sikap tegas dalam bidang ilmiah tidak dikorbankannya. Dengan bimbingannya, akhirnya tesis saya yang berjudul Kesinambungan Bahasa dalam Karya Sastera Melayu Lama dan Sastera Melayu Baharu diluluskan dan diterbitkan dalam bentuk buku oleh Penerbit Fajar Bakti.
Kembangkan tradisi kajian sastera Melayu
Pada 1986, beliau meninggalkan UM kerana mendapat tawaran bertugas di UBD. Di UBD, beliau berkuliah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sains Sosial, sesuai dengan kecenderungan beliau beralih daripada linguistik kepada sastera sejak beberapa tahun di UM. Antara bukunya yang penting, Kajian Sejarah Melayu yang memberikan perspektif lain daripada kajian terdahulu. Dalam tempoh 20 tahun di UBD, beliau mengembangkan tradisi kajian sastera Melayu yang kritis dan melahirkan sarjana serta penulis berbakat.
Apabila dijemput pulang oleh Allah pada usia 80 tahun, Allahyarham meninggalkan jejak penting dalam pertumbuhan dan perkembangan disiplin linguistik serta sastera, bermula di Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam. Persuratan alam Melayu kehilangan sarjana gigih dan berwibawa, tetapi insya-allah murid-murid didikannya melanjutkan amanah memantapkan persuratan Melayu sebagai antara pancang tamadun. Kepada Allah kita rafakkan doa semoga rohnya dirahmati Allah.