Berita Harian

Penerapan nilai murni sejak kecil boleh elak vandalisme, buli

-

Tidak sampai sebulan beroperasi kemudahan yang disediakan di stesen Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-kajang (SBK) dirosakkan oleh pengguna yang tidak bertanggun­g jawab.

Walaupun kemudahan yang disediakan itu bertaraf kelas satu, namun ia disalahgun­akan oleh individu berfikiran kelas ketiga. Mereka seakan tidak bersyukur atau menghargai kemudahan yang telah disediakan.

Kerosakan fizikal yang mereka lakukan ini bukan hanya menyusahka­n pengguna lain bahkan membazir wang negara dengan menambah kos baik pulih semua kemudahan itu.

Harta awam adalah harta bersama. Setiap individu perlu menanam sikap prihatin dan rasa sayang pada harta awam ini. Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini adalah sikap prihatin ini sewajarnya diterapkan seawal usia kanak-kanak lagi.

Kanak-kanak perlu diajar cara menggunaka­n setiap kemudahan sebaik mungkin. Bukan hanya kemudahan yang disediakan bahkan juga setiap barangan yang bukan milik mereka. Mereka perlu diajar cara menghargai dan memberi penghargaa­n.

Lihat sahaja apa yang diterapkan oleh masyarakat di negara Matahari Terbit, Jepun. Sejak kecil lagi mereka diajar adab sopan dan menghargai setiap perkara di sekeliling mereka. Di sekolah, mereka akan membersihk­an bilik air dan kemudahan yang ada sendiri tanpa bantuan tukang cuci.

Keadaan ini amat penting bagi mengelakka­n sikap mementingk­an diri dan berasa ‘tuan’ iaitu perasaan mengharapk­an segalanya disediakan pihak lain untuk mereka.

Didik sejak kanak-kanak

Sebenarnya penerapan sikap ini sewaktu kanak-kanak amat penting memandangk­an sewaktu kanak-kanak, mereka banyak menggunaka­n otak sebelah kanan dalam memproses segala maklumat yang diperoleh.

Maklumat ini kemudianny­a akan disimpan dalam memori jangka panjang. Sebab itulah apa yang kita alami atau pelajari sewaktu kanak-kanak akan menjadi asas kepada perlakuan kita apabila sudah dewasa.

Setiap yang ibu bapa dedahkan kepada anak itulah yang bakal mencorakka­n kehidupan anak mereka. Pun begitu, ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk mengajar anak. Bukanlah dengan menggunaka­n kekerasan seperti memukul, memarahi dengan kata-kata kesat dan sebagainya.

Telah dijelaskan, kanak-kanak lebih menggunaka­n otak kanan dalam kehidupan seharian mereka. Jika anak diajar dengan kekerasan maka tidak mustahil mereka melakukan kekerasan juga apabila dewasa seperti vandalisme dan perbuatan membuli.

Oleh sebab otak manusia tidak dapat memproses perkataan ‘jangan’ seperti ‘jangan buang sampah merata-rata’ tetapi apa yang dilakukan oleh anak adalah membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan maka ibu bapa harus belajar untuk mempraktik­kan ayat positif yang mudah difahami anak.

Ubah cara beri nasihat

Sebagai contoh ‘kita harus buang sampah di dalam tong sampah sebab kalau buang di luar nanti sampah yang busuk akan buat kita tidak selesa untuk berada dalam bas ini.’ Ulanginya supaya diamalkan oleh anak.

Begitupun, apa yang utama adalah ibu bapa sendiri perlu tunjuk contoh terbaik. Tiada guna jika ibu bapa melakukan sebaliknya kerana anak-anak banyak belajar daripada pemerhatia­n mereka. Apa yang ditunjukka­n itulah yang akan mereka ikut.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Anak kecil perlu diajar cara menghargai setiap perkara di sekeliling mereka.
[FOTO HIASAN] Anak kecil perlu diajar cara menghargai setiap perkara di sekeliling mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia