Pura-pura tak sihat
Bos Arsenal, Arsene Wenger mengulangi tekadnya untuk tidak melepaskan Alexis Sanchez sambil menolak dakwaan bintang Chile itu berpura-pura tidak sihat sebagai sebahagian ‘pelan’ untuknya keluar dari Emirates.
Sanchez memiliki baki kontrak setahun bersama The Gunners selepas enggan menandatangani kontrak baharu dan dipercayai bekas pemain Barcelona itu mahukan pasukan yang beraksi di Liga Juara-juara.
Manchester City, Paris SaintGermain, Bayern Munich dan Juventus masing-masing berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu yang masih belum menyertai Arsenal bagi kempen pra musim selepas penampilan di Piala Konfederasi.
Dia dijadual kembali ke Arsenal, semalam namun kepulangannya ditangguhkan sekurangkurangnya 48 jam selepas dijangkiti selsema dan mendedahkannya di laman sosial.
Hantar mesej
Sesetengah peminat Arsenal tampak bimbang perkembangan terbaharu itu adalah sebahagian daripada perancangannya untuk meninggalkan Gunners namun Wenger menegaskan Sanchez tidak akan dijual.
“Tiada perkembangan, sentiasa sama. Sudah tentu, dia akan kekal,” kata Wenger selepas pasukannya menang 5-2 ke atas Benfica pada perlawanan Piala Emirates, semalam.
Ketika ditanya adakah dia mengetahui Sanchez menangguhkan kepulangannya ke England, Wenger enggan mengkritik pemainnya itu.
“Dia dijangkiti selsema. Dia hantar mesej kepada saya dan berkata dia akan kembali secepat yang mungkin. Kami sentiasa berhubung dengannya dan juga doktornya.
“Tugas anda adalah untuk merasa curiga, kerja anda dibina atas ketidakpercayaan dan saya dibina atas kepercayaan, itulah sebabnya saya lebih menggemari kerja saya.
“Tiada sebarang masalah pada asasnya. Dia mungkin kembali esok namun dia akan berada di sini pada Selasa. Dia akan kembali secepat yang mungkin apabila dia boleh,” katanya.