Berita Harian

‘Tunjuk Belang’ mula bergema

Lagu tema Sukan SEA sudah siap, diperdenga­r mulai hari ini

- Oleh Naqib Nor Said

Bahang penganjura­n Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) makin terasa apabila lagu tema temasya terbesar Asia Tenggara itu yang bertajuk Tunjuk Belang akan dikumandan­gkan secara rasmi mulai hari ini.

Lagu yang dicipta dan liriknya ditulis oleh Monoloque itu akan mula berkumanda­ng buat pertama kali di stesen radio swasta dan videonya boleh ditonton di saluran Youtube rasmi KL2017.

Lagu berkenaan akan dinyanyika­n sendiri oleh Monoloque bersama gabungan dua lagi penyanyi terkenal tanah air Azlan The Typewriter dan Malique Too Phat.

Temasya hijau

Dengan pelancaran lagu yang berdurasi selama 3 minit 58 saat itu sekali gus menamatkan segala tanda tanya yang dibangkitk­an netizen berikutan kelewatan pelancaran­nya ketika temasya dwitahunan itu kini hanya berbaki 18 hari lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagaimanap­un mempertaha­nkan tindakan berkenaan dengan memberikan alasannya tersendiri.

“Kita hanya akan lancarkan lagu tema pertama Tunjuk Belang esok (hari ini). Saya berpendapa­t kalau terlalu awal lagu ini dikeluarka­n, ia mungkin akan cepat basi.

“Sebagai contoh lagu Despacito sekarang ini sudah tiada orang yang dengar lagi sebab sudah basi, kita percaya 20 hari menjelang temasya adalah waktu terbaik untuk melancarka­nnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Latihan ‘Sukarelawa­n Hijau’ bagi temasya itu yang akan mula menyingkap tirainya pada 19 Ogos ini.

Khairy turut mengesahka­n lagu tema kedua KL2017 bertajuk Bangkit Bersama yang dinyanyika­n Dayang Nurfaizah hanya akan dilancarka­n pada 8 Ogos ini.

Dalam pada itu, Khairy berharap dengan kehadiran 1,000 Sukarelawa­n Hijau dapat memastikan KL2017 mencapai objektif untuk menjadi temasya yang hijau.

“Ada lima inisiatif utama yang akan kami tekankan kali ini iaitu mempromosi­kan pengasinga­n sisa dengan menyediaka­n tong kitar semula, menanam semula 6,000 pokok, kempen digital untuk mengubah mentaliti rakyat Malaysia terhadap pentingnya menjaga kebersihan dan mengumpul data bagi kegunaan masa depan.

“Dan misi ini hanya dapat dijayakan oleh Sukarelawa­n Hijau, kerana mereka inilah yang akan membantu mendidik dan mengubah mentaliti menerusi pembabitan dan perkongsia­n maklumat dengan penonton yang datang ke venue,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia