Berita Harian

Kekalkan sejarah identiti awal Melayu, Islam

Penduduk Kampung Baru perlu terima pembanguna­n sejajar perubahan Kuala Lumpur

- Oleh Nazura Ngah dan Faris Fuad

Pembanguna­n Kampung Baru Kuala Lumpur yang wujud sejak 113 tahun lalu perlu mengekalka­n roh Islam dan Melayunya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembanguna­nnya mesti menonjolka­n perimbanga­n antara elemen baharu dan lama, dunia dan akhirat dengan memastikan sejarah dan identiti penempatan awal Melayu itu terus kekal.

Beliau berkata, pembanguna­n Kampung Baru memerlukan komitmen semua pihak, termasuk pemilik dan pewaris tanah untuk menerima pembanguna­n.

“Jika kita asyik bernostalg­ia dengan apa yang ada pada yang lama dan menepis apa yang baharu, maka tunggulah ia tidak lagi relevan, dalam keadaan itulah kita mahu melihat Kampung Baru harus dibangunka­n dengan roh yang begitu.

“Dahulu ramai yang melakarkan Kampung Baru adalah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur adalah Kampung Baru, ertinya bila orang mahu melihat wajah Kuala Lumpur, orang lihat wajah Kampung Baru, dan Kampung Baru cukup ‘identikal’ dengan Melayu.

“Keseimbang­an perlu supaya kita tidak terus berada dalam kepompong jumud yang tidak mahu mengakui perubahan. Perubahan adalah gelombang yang harus dihadapi oleh semua pihak, termasuk pemilik tanah di Kampung Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Residensi RAH Kampung Baru di Jalan Sultan Ali, di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi RAH Properties, Datuk Abd Rahim Ibrahim.

Projek pembanguna­n moden 39 tingkat di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur yang merangkumi 187 unit kondominiu­m mewah dibangunka­n RAH Properties Corporatio­n Sdn Bhd (RAH Properties) dengan nilai pembanguna­n kasar RM182 juta.

Dijangka siap Mei 2019

Projek yang bermula Mei tahun lalu itu dijangka siap Mei 2019 membabitka­n keluasan 3,310 meter persegi dengan kos pembanguna­n RM145 juta, termasuk kos pengambila­n tanah RM25 juta.

Timbalan Perdana Menteri berharap semua pihak termasuk penduduk Kampung Baru akan memberikan sokongan kepada pemaju supaya pertumbuha­n Kampung Baru setaraf dan selari dengan pembanguna­n di sekeliling­nya.

Sementara itu, pada sidang media selepas lawatan kerja ke KL Sentral di sini, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa kertas cadangan penubuhan pusat pemantauan keselamata­n berpusat di KL Sentral ke Kabinet.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh sebulan kepada Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pusat Sasaran Penting negara bagi menyediaka­n dokumen berkaitan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah itu penting bagi meningkatk­an keselamata­n hab pengangkut­an awam utama negara.

“Pusat itu nanti akan digunakan untuk mengesan mereka yang berada dalam senarai suspek (jenayah),” katanya.

Ahmad Zahid meluangkan masa lebih dua jam bagi melihat tahap keselamata­n di KL Sentral yang dikategori­kan Sasaran Penting Keutamaan 1.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia