Berita Harian

‘Benar guna nama bapa tindakan halalkan zina’

-

Kuala Lumpur: Pandangan baharu membenarka­n anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya menjurus kepada tindakan menghalalk­an perbuatan zina, kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau menyifatka­n pandangan itu melawan arus kerana bertentang­an dengan al-quran, hadis dan ijmak ulama.

“Saya harap ulama seperti ini harus berhati-hati, kita pakai ijmak dibuat berkurun lamanya, bukan ratusan tahun tetapi sudah ribuan tahun, orang buat hukum bukan sembaranga­n tetapi berasaskan alquran dan hadis, ijmak ulama dan juga istigra' (kajian), selepas diputuskan baru diguna pakai.

“Imam Syafii bukan sembaranga­n orang, berumur 15 tahun sudah diangkat ulama dunia menyatakan dia layak jadi mufti, jadi kenapa kita nak lawan arus? Adakah kita nak cari publisiti dengan melawan arus, ini nak menjurus kepada menghalalk­an zina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Projek Residensi RAH Kampung Baru di tapak projek di Jalan Sultan Ali, Kampung Baru, di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurna­kan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong penghakima­n Mahkamah Rayuan yang membenarka­n anak tidak sah taraf untuk menggunaka­n nama ayah mereka.

Mohd Asri dilaporkan berkata, keputusan mahkamah itu selari dengan sifat agama Islam sebagai rahmat sekalian alam dan berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak tidak bersalah dan ke arah menghindar­kan mentaliti ‘Islam agama hukuman’.

Sementara itu, ditanya dakwaan beberapa pihak bahawa mereka yang mempertika­ikan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai menghina mahkamah, Harussani berkata, pihak berkenaan sewajarnya merujuk peruntukan Perlembaga­an Persekutua­n yang memperakui Islam sebagai agama Persekutua­n.

Nafikan fatwa

“Kenapa mereka nak menafikan keputusan fatwa sebab fatwa setiap negeri yang diwartakan menjadi undang-undang, mengikat semua (perundanga­n Islam) dan termaktub dalam Perlembaga­an. Jadi, bagaimana Mahkamah Rayuan boleh kata kita tidak terikat dengan fatwa?

“Bukan kita menghina (mahkamah) tetapi perbuatan itu tak betul. Keputusan Mahkamah Rayuan itu menghina Islam, menghina Perlembaga­an, menghina fatwa... ini urusan agama bukan urusan politik, ada pula orang mengaku dirinya ulama nak mengiyakan perkara ini, adakah dia menghalal perzinaan,” katanya.

Beliau turut menyuaraka­n kebimbanga­n jika isu anak tidak sah taraf gagal ditangani dengan baik, akan menjejaska­n kedudukan Islam di negara ini.

Katanya, bagi mengelak ia berlaku, sebarang perkara membabitka­n umat Islam perlu diteliti dalam ruang lingkup perundanga­n Islam, bukannya undang-undang sivil atau undang-undang England yang sudah lapuk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia