Berita Harian

Parut lama bongkar kes kematian budak 3 tahun

Ibu tiri ditahan reman bantu siasatan kes penderaan mangsa

- Oleh Mohd Roji Kawi mdroji@bh.com.my

Penemuan parut kecederaan lama merungkai misteri kematian seorang budak lelaki berusia tiga tahun, yang ditemui pengsan di rumah keluargany­a dekat Kampung Terimah Lubai, Limbang pada Khamis lalu.

Susulan perkembang­an itu, seorang wanita berusia 22 tahun yang juga ibu tiri mangsa ditahan jam 7.10 malam kelmarin, bagi membantu siasatan terhadap kematian dan penderaan yang dialami mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata suspek ditahan selepas bedah siasat oleh Hospital Miri menemui unsur penderaan pada tubuh mangsa.

Beliau berkata, wanita itu direman untuk siasatan kes kematian kanak-kanak terbabit yang kini diklasifik­asikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

“Kita akan menyoal siasat wanita itu bagi mengenal pasti punca kesan kecederaan ditemui pada tubuh kanak-kanak itu, termasuk parut lama yang dipercayai membawa kepada kematianny­a,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada jam 9 malam Khamis lalu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Limbang mendakwa jam 4 petang anak tirinya ditemui pengsan atas lantai bilik mandi di rumah mereka dekat Kampung Terimah Lubai di sini.

Bawa anak tiri ke hospital

Dalam laporan, wanita itu mendakwa anak tirinya itu bermain bersendiri­an dalam bilik mandi ketika dia berada di dapur dan hanya menyedari anaknya pengsan ketika kembali ke bilik mandi.

Wanita terbabit membawa mangsa ke Hospital Limbang untuk rawatan lanjut, namun doktor mengesahka­n mangsa sudah meninggal dunia.

Kes itu pada mulanya diklasifik­asikan sebagai kematian mengejut, sementara menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Miri.

Difahamkan, selain kesan lebam pada dahi, pasukan perubatan yang menjalanka­n pemeriksaa­n turut menemui kesan kecederaan pada perut, luka pada bahagian ari-ari, belakang cuping telinga kanan, mulut, hidung serta punggung mangsa.

Ia mengundang rasa curiga ibu bapa kandung mangsa, termasuk mengesyaki kanak-kanak itu didera sebelum membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

 ?? [FOTO IHSAN POLIS] ?? Wanita yang juga ibu tiri mangsa ditahan reman untuk membantu siasatan.
[FOTO IHSAN POLIS] Wanita yang juga ibu tiri mangsa ditahan reman untuk membantu siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia