Berita Harian

‘Impak Sturridge seperti dua pemain’

-

London: Adam Lallana memberi gambaran betapa Daniel Sturridge begitu penting buat Liverpool dengan menegaskan penyerang itu mampu membawa impak sama seperti ‘dua pemain baharu yang ditandatan­gani’.

Penyerang England itu menutup kempen musim lalu dengan timbul persoalan terhadap tahap kecergasan dan masa depannya di Anfield.

Malah, dia terpaksa diberikan suntikan di pinggulnya pada Mei lalu untuk menangani masalah kecederaan berterusan­nya dan ramai berfikir dia akan mencari cabaran baharu pada jendela perpindaha­n kali ini.

Bagaimanap­un, Sturridge bekerja keras sepanjang tempoh rehatnya, untuk pulang ke Melwood dalam keadaan terbaik dan pemain berusia 27 tahun itu tampak seperti mahu memulihkan masa depannya dengan mengetuai jentera serangan Liverpool pada musim ini.

Tempoh sukar

Kesungguha­nnya itu mendapat pujian rakan sepasukan, yang tidak pernah ragu-ragu Sturridge mampu kembali kepada tahap terbaik yang di peragakan pada kempen 2013-14.

“Studge (Sturridge) begitu luar biasa pada sesi pramusim ini,” kata Adam Lallana. “Dia kelihatan amat tajam dan untuk mempunyai dia di tahap terbaik sama seperti kami menandatan­gani dua pemain baharu.

“Dia pemain berkelas dunia. Dia pulang pada musim panas ini dalam bentuk fizikal terbaik, begitu cergas. Dia akan menjadi watak penting untuk kami selepas ini.

“Saya dapat merasakann­ya. Anda tidak boleh meletakkan harga padanya. Setiap pemain bola sepak tidak boleh mengelakka­n kecederaan - Jordan Henderson juga melalui tempoh yang sukar.”

Liverpool ketika ini berpangkal­an di bandar raya Jerman, Rottach Egern sejak Rabu lalu dan pengendali­nya Jurgen Klopp tidak memberi muka kepada pemain apabila melanyak mereka dengan menjalani latihan tiga kali sehari.

Ia terbukti apabila The Reds tampak tajam ketika menewaskan Hertha Berlin 3-0, Sabtu lalu yang juga kemenangan keempat sepanjang lima aksi pra-musim dan seterusnya akan berdepan Bayern Munich dalam aksi Piala Audi malam ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia