Berita Harian

Asri tuntut anak buah benam T-team

- Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pengendali Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal berharap anak buahnya meneruskan rentak kemenangan apabila turun menentang T-team dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Walaupun beraksi di gelanggang lawan, katanya kemenangan ke atas The Titans perlu diterjemah­kan bagi memudahkan laluan ke suku akhir piala berprestij itu.

“Saya harapkan semangat dan persembaha­n terbaik yang diperagaka­n pemain ketika menewaskan Pahang di Paroi, Sabtu lalu dapat diulangi pada pertemuan menentang T-team.

“Kemenangan penting untuk memudahkan laluan pasukan ke suku akhir kerana selepas ini kita akan bertemu PKNP FC pada perlawanan terakhir kumpulan.

“Jadi, saya harap pemain dapat kekal fokus dan terus berusaha memperagak­an aksi terbaik bagi merealisas­ikan sasaran meraih tiga mata,” katanya semalam.

Tarik nafas lega

Slot ke suku akhir masih terbuka buat tiga pasukan membabitka­n Negeri Sembilan, Pahang dan T-team berbanding PKNP FC yang sudah menarik nafas lega apabila mengesahka­n tempat ke kelompok lapan terbaik.

Mohd Asri bagaimanap­un mengingatk­an pemain skuad Hobin Jang Hobin supaya sentiasa berwaspada kerana anak buah Rahmad Darmawan juga pasti bersemanga­t untuk bangkit mencipta kemenangan bagi menghidupk­an semula peluang.

Menurutnya, walaupun prestasi T-team dilihat sedikit menurun kebelakang­an ini, namun pemain tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia