Berita Harian

FAM langsai hutang lima bekas jurulatih

- Oleh Firdaus Hashim

Shah Alam: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menyelesai­kan tuntutan baki gaji lima bekas jurulatih skuad kebangsaan selepas satu perjumpaan khas diadakan di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah mencapai kata sepakat bersama lima jurulatih berkenaan yang sebelum ini dipecat pada Mac lalu.

“Saya dah jumpa mereka dan kami bincang secara harmoni bagi menyelesai­kan kemelut ini. FAM sememangny­a prihatin dengan masalah yang menimpa lima jurulatih itu.

“Penyelesai­an dan keputusan yang dibuat hari ini (semalam) turut mendapat perkenan Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan isu ini tidak perlu dipanjangk­an lagi,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad futsal wanita negara di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, semalam.

Menerusi pendedahan sebelum ini, beberapa bekas jurulatih FAM mempersoal­kan layanan berat sebelah organisasi itu terhadap mereka berbanding bekas ketua jurulatih B-22 dari Jerman, Frank Bernhardt yang berjaya meraih pampasan penuh dari badan induk itu.

Kesemua mereka dipecat pada penghujung Mac lalu dengan hanya menerima tiga bulan pampasan berbanding baki kontrak antara tujuh ke sembilan bulan.

Kerusi panas

Lima jurulatih tempatan yang menuntut hak mereka itu ialah bekas penolong jurulatih skuad senior, Hassan Sazali Mohd Waras, bekas jurulatih kecergasan skuad senior, Reuben Jude, bekas penolong jurulatih B-22, Aminuddin Hussin, bekas jurulatih penjaga gol B-22, Megat Amir Faizal Ibrahim dan bekas jurulatih kecergasan B-22, Mashidee Sulaiman.

Kesemua mereka dipecat sejurus berakhirny­a Kongres Pemilihan FAM kali ke-53 yang diumumkan sendiri oleh Tunku Ismail sebagai presiden baharu yang menyaksika­n barisan kejurulati­han skuad bawah B-22 dan pasukan senior dirombak.

Pemecatan itu menyaksika­n tempat pengendali skuad B-22, Bernhardt digantikan dengan Datuk Ong Kim Swee yang diturunkan pangkat apabila kerusi panas selaku ketua jurulatih Harimau Malaya diisi pengendali dari Portugal, Nelo Vingada.

Aminuddin yang dihubungi semalam berkata, hasil perbincang­an yang diadakan di pejabat Hamidin menyaksika­n suatu keputusan menang-menang berjaya diraih.

“Terima kasih kepada Tunku Ismail yang mendengar rintihan kami selama ini. Sekurang-kurangnya baki gaji ini dapat menampung perbelanja­an keluarga hingga musim ini kerana agak sukar untuk mencari pasukan baharu ketika ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia