Berita Harian

Ekonomi Malaysia mampu tampan kejutan luaran

-

Pasaran modal dan portfolio aset kewangan semasa Malaysia yang bernilai RM5.5 trilion, mampu menyokong ekonomi negara di samping menampan sebarang kejutan luaran serta aliran keluar dana, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Daripada jumlah itu, pasaran modal adalah bernilai RM3.1 trilion, meliputi ekuiti (RM1.8 trilion) dan bon (RM1.3 trilion) manakala baki RM2.4 trilion adalah aset kewangan.

“Inilah asas yang kita ada. Kekuatan sistem kewangan, pasaran modal, sistem perbankan dan aset negara kita akan dapat bertahan daripada sebarang aliran keluar,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog makan tengah hari bersama pengamal media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, walaupun berlaku aliran keluar RM32 bilion pada suku pertama tahun ini, Malaysia masih mampu mengekalka­n pertumbuha­n ekonominya.

Johari turut berkata, kepelbagai­an ekonomi dimiliki Malaysia, yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada perolehan minyak, berperanan penting membantu negara bertahan daripada kesan luaran dengan jangkaan ketidakten­tuan harga komoditi dunia.

Katanya, ia ditambah dengan turun naik pasaran kewangan global akibat kesan pertukaran dasar di negara seperti Amerika Syarikat.

“Sebagai ekonomi terbuka, kita perlu bersiap sedia. Kita telah mempelbaga­ikan perdaganga­n dan struktur ekonomi negara, mengukuhka­n sistem kewangan, kerajaan dan modal insan. Inilah semua asas kerajaan,” katanya.

Johari berkata, pembanguna­n infrastruk­tur kukuh di negara ini seperti Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan kemudahan Transit Aliran Massa (MRT), semuanya menyumbang secara positif kepada asas yang baik bagi negara.

Dua krisis kewangan utama iaitu pada 1997/98 dan 2008/2009, yang menyaksika­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia merosot teruk, telah memperkuku­hkan lagi sokongan kepada negara untuk kekal berdaya tahan pada masa depan.

“Dari semasa ke semasa, kita belajar daripada kelemahan kita,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia