Berita Harian

Laba kasar Lotte Chemical menyusut

-

Keuntungan sebelum cukai Lotte Chemical Titan Holdings Bhd bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2017, susut kepada RM127.40 juta daripada RM514.91 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan­nya susut sebanyak 11.2 peratus kepada RM1.78 bilion daripada RM2.00 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurut Lotte Chemical, hasil rendah itu disebabkan terutama penurunan jualan ekoran kuantiti pengeluara­n susut berikutan gangguan air tidak berjadual oleh Syarikat Air Johor pada April 2017 dan jualan rendah disebabkan cuti perayaan pada Jun lalu.

“Mengimbang­i sebahagian daripada kesan penurunan kuantiti jualan ke atas hasil kumpulan ialah kenaikan 19 peratus purata harga jualan,” kata syarikat itu.

Menurut Lotte Chemical, keuntungan sebelum cukai rendah itu disebabkan terutama peningkata­n kos barangan yang dijual sebanyak 8.5 peratus berikutan kos inventori tinggi dibawa ke hadapan daripada aktiviti pemulihan dalam suku pertama 2017 dan juga kos pengeluara­n unit tinggi ekoran gangguan air pada April 2017.

“Faktor lain yang menyumbang kepada penurunan keuntungan sebelum cukai itu termasukla­h penurunan nilai adil bagi derivatif sebanyak RM 21.9 juta, hartanah, kilang dan peralatan dihapus kira sebanyak RM20.1 juta dan bahagian kerugian daripada syarikat sekutu sebanyak RM16 juta,” kata syarikat itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia