Berita Harian

‘Dr M tak marah urus niaga rugi’

Anwar setuju cadangan supaya Nor Mohamed letak jawatan

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Farah Marshita Abdul Patah

Suruhanjay­a Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an, diberitahu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad memberi reaksi normal terhadap kerugian RM30 bilion dalam urus niaga itu.

Perkara terbabit dimaklumka­n Tan Sri Clifford Francis Herbert, 76, ketika memberi keterangan kepada suruhanjay­a berkenaan semalam. Beliau adalah Ketua Setiausaha II Kementeria­n Kewangan ketika itu.

Saksi ke-14 berkenaan berkata, beliau dan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi taklimat kepada Dr Mahathir di Pejabat Perdana Menteri pada hujung 1993 mengenai urus niaga berkenaan.

Herbet ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Julia Ibrahim, berkata selepas taklimat itu, beliau menjangka Dr Mahathir akan marah, namun bekas Perdana Menteri hanya berkata: “Kadang-kadang kita buat untung, kadangkada­ng kita rugi.”

Julia: Kerugian RM30 bilion itu, adakah ia tepat-tepat?

Herbert: Ia mungkin lebih daripada itu.

Julia: Apakah bentuk perbincang­an dalam pertemuan itu? Herbert: Ia adalah taklimat oleh Menteri Kewangan.

Julia: Apakah reaksinya (Dr Mahathir)? Herbert: Saya ingatkan dia akan marah, (tapi) dia hanya agak normal.

Anwar arah periksa

Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai kerugian BNM itu pada akhir 1993 selepas diarahkan Anwar supaya membuat pemeriksaa­n mengenainy­a.

“Saya minta kepada Setiausaha Lembaga Pengarah BNM untuk mengemukak­an maklumat berkaitan kerugian berkenaan. Saya kemudian diberikan beberapa dokumen oleh BNM dan selepas itu membuat perkiraan sendiri.

“Saya kemudian maklumkan kepada Anwar melalui sekeping nota,” katanya sambil menambah, selepas memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai kerugian itu, Anwar kemudian bertanggun­gjawab mempertaha­nkan BNM di Parlimen.

Herbert berkata, beliau juga ada berbincang dengan Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussien untuk menyediaka­n laporan kepada Anwar sebagai jawapan di Parlimen.

Banyak bank pusat rugi

Beliau berkata, Jaffar memaklumka­n, kebanyakan bank pusat ketika itu mengalami kerugian dalam urus niaga mata wang asing kerana pasarannya sangat rapuh.

Sementara itu, katanya, Anwar bersetuju dengan cadangan supaya bekas Pengurus/penasihat Jabatan Bank BNM ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop letak jawatan kerana bertanggun­gjawab terhadap kerugian dalam urus niaga berkenaan.

“Kami memberi taklimat, nasihatkan Anwar mengenai kerugian BNM dalam kapal terbang menuju Hawaii. Apabila tiba di Hawaii, saya hubungi Setiausaha Lembaga Pengarah BNM dan maklumkan Anwar setuju Nor Mohamed perlu letak jawatan,” katanya.

Beliau memaklumka­n, pada akhir 1993 atau awal 1994, Timbalan Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Lin See Yan menemuinya dan memberitah­u BNM secara asasnya tidak mampu dari segi kewangan disebabkan kerugian dalam urus niaga mata wang asing.

Katanya, mereka bersetuju agar Kementeria­n Kewangan memindahka­n saham Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia ke BNM pada harga nominal dengan bank pusat akan menilai balik saham itu kepada asas pasaran dalam penyata imbanganny­a.

Prosiding pendengara­n akan bersambung Selasa ini.

Kami memberi taklimat, nasihatkan Anwar mengenai kerugian BNM dalam kapal terbang menuju Hawaii. Apabila tiba di Hawaii, saya hubungi Setiausaha Lembaga Pengarah BNM dan maklumkan Anwar setuju Nor Mohamed perlu letak jawatan” Clifford Francis Herbert, Bekas Ketua Setiausaha II Kementeria­n Kewangan

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] ?? Herbert ketika keluar dari Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas prosiding, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] Herbert ketika keluar dari Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas prosiding, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia