Berita Harian

Kerajaan negeri sokong formula SPRM

-

Seremban: Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyelesai­kan kemelut tanah Ladang Gatco.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri menerima baik formula SPRM menyelesai­kan isu yang berlarutan sejak 40 tahun lalu itu.

“SPRM mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat perkara ini dan kerajaan negeri tiada masalah untuk memberi kerjasama sebaiknya.

“Kita berharap SPRM dapat membantu menyelesai­kan isu ini,” katanya selepas mempengeru­sikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Beliau mengulas serbuan oleh SPRM terhadap Unit Kerajaan Tempatan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan, di sini, kelmarin, bagi mendapatka­n maklumat berkaitan isu pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah atau sebelum ini dikenali sebagai Kampung Gatco di Serting Hilir, Bandar Seri Jempol.

Penduduk buat aduan

Mohamad berkata, baru-baru ini penduduk kampung itu membuat aduan kepada SPRM mengenai dakwaan berlaku salah guna kuasa membabitka­n ladang itu.

Ahad lalu, Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Datuk Zulkiffli Ahad, memberitah­u akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kemelut pemilikan tanah yang dihadapi kampung berkenaan.

Kerajaan negeri juga pernah menyelesai­kan isu itu melalui tawaran tanah seluas 1.6 dan 0.8 hektar itu, tetapi ada segelintir penduduk yang tidak bersetuju.

Ladang sawit dan getah yang dikenali Ladang Gatco seluas 1,200 hektar di kampung itu milik Syarikat GATCO dan ditawarkan kepada penduduk untuk dimajukan melalui skim seperti tanah rancangan FELDA pada tahun 1970-an.

Pemilik bertukar tangan

Bagaimanap­un, pemilikan tanah bertukar tangan kepada pelbagai pihak sebelum dimiliki sebuah syarikat, yang bersetuju bekerjasam­a dengan kerajaan negeri menyelesai­kan masalah tanah di ladang berkenaan.

Mohamad berkata, tawaran kerajaan negeri melalui pemberian tanah sebelum ini, bertujuan membantu penduduk yang teraniaya.

Namun, katanya, ada penduduk yang masih kurang berpuas hati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia