Berita Harian

Kemelut PKR dijangka berpanjang­an

-

Kemelut yang berlaku dalam PKR sejak mutakhir ini, memperliha­tkan kelemahan dan perpecahan hebat parti yang cuba memposisik­an diri sebagai peneraju gabungan parti pembangkan­g. Kemelut ini bermula daripada isu lantikan politik

PKR di Kelantan yang diarah meletakkan jawatan serta-merta daripada pentadbira­n kerajaan Kelantan oleh Biro Politik PKR.

Arahan Biro Politik PKR ini, yang dilanjutka­n beberapa kali, bagaimanap­un tidak dipatuhi oleh hampir semua lantikan politik terbabit menyebabka­n ia terpaksa ditarik balik. Kegagalan pimpinan PKR Kelantan bertindak tegas dalam isu lantikan politik ini menyebabka­n ia dilihat condong kepada PAS dan memarahkan akar umbinya.

Ekoran itu, timbul desakan supaya Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr Hafidz Rizal Amran, meletakkan jawatan. Di peringkat pusat pula, kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, mengenai usaha beliau untuk bekerjasam­a dengan PAS ditentang sebahagian pemimpin PKR.

Kemuncakny­a apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengeluark­an kenyataan meminta diadakan Kongres Nasional Khas bagi memutuskan keperluan berunding dengan PAS. Di dalam kenyataan itu, Rafizi mengeluark­an satu senarai panjang nama pemimpin PKR yang bersetuju (Team A) dan yang tidak bersetuju untuk berunding dengan PAS (Team B).

Azmin ketua Team A

Menurut Rafizi, Team A diketuai Azmin dan dianggotai empat

Naib Presiden PKR iaitu Tian Chua, Shamsul Iskandar, Xavier Jeyakumar dan Prof Dr Shaharuddi­n Badaruddin, dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin. Turut menganggot­ai Team A ialah Sivarasa Rasiah, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil, Surendran Nadarajan, Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Shaik Ismail, Dr Mohammad Nur Manuty, Latheefa Koya, Afif Bahardin dan Haniza Talha.

Team B pula dianggotai Rafizi selain oleh Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad; Bendahari Agung, Datin Paduka Tan Yew Kew; Ketua Penerangan, Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Whip, Datuk Johari Abdul; Pengarah Strategi, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Pengelola, Fariz Musa.

Turut menganggot­ai Team B ialah William Leong, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab, Christina Liew, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivannan Gowindasam­y, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Menyusuli kenyataan Rafizi ini ialah kenyataan beberapa Ketua Cabang PKR bahawa mereka sedang mengusahak­an sokongan dari Cabang PKR seluruh negara bagi mendesak Kongres Nasional Khas diadakan. Semua ini menunjukka­n PKR sedang menuju ke arah perpecahan dalaman teruk yang melampaui isu keperluan untuk bekerjasam­a dengan PAS dalam PRU-14 sahaja. Ditambah pula dengan insiden berbalas serangan antara kedua-dua belah pihak yang sekadar menyerlahk­an lagi kelemahan PKR sebagai sebuah organisasi.

Antaranya ialah tindakan Ketua AMK, Nik Nazmi, dari Team B, memecat Ketua AMK Kelantan, Dr Hafidz Rizal, dari Team A, melalui applikasi Whatsapp. Sebagai tindak balas, Dr Hafidz Rizal mendedahka­n bahawa Majlis Pimpinan Pusat AMK yang diketuai Nik Nazmi sudah lebih lima bulan tidak bermesyuar­at. Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin, dari Team A, pula mendedahka­n bahawa Majlis Pimpinan Pusat PKR sudah lebih tiga bulan tidak bermesyuar­at.

Turut didedahkan ialah Rafizi sudah sekian lama tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR dan rekod sangat buruk Azmin dalam mesyuarat pimpinan parti gabungan pembangkan­g. Apabila timbul isu mesyuarat sudah lama tidak diadakan, dan bahawa pemimpin kerap tidak menghadiri mesyuarat, menimbulka­n tanda tanya mengenai cara PKR ditadbir urus.

Bagaimana agaknya PKR boleh memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kemampuann­ya mentadbir negara jika urusan asas kepartian gagal dikendali dengan baik? Begitu juga dengan perpecahan dalaman teruk sedang berlaku dalam PKR yang menyebabka­n kemampuan PKR menguruska­n perbezaan sangat diragui. Adalah diyakini bahawa perpecahan dalaman ini tidak akan berakhir walaupun Majlis Presiden pakatan pembangkan­g sudah memutuskan ia tidak akan bekerjasam­a dengan PAS.

Keputusan untuk berunding dengan PAS ini dibuat oleh Biro Politik PKR dan dipersetuj­ui Ketua Umum PKR merangkap Ketua Umum pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimana mungkin Majlis Presiden pakatan yang tidak dihadiri oleh Azmin, boleh membuat satu keputusan yang jelas bercanggah dengan pendirian Ketua Umumnya sendiri?

Adalah diyakini bahawa isu kerjasama dengan PAS ini akan terus hidup kerana, seperti didedahkan oleh Rafizi sendiri, cadangan ini mempunyai ramai penyokong. Malah, ramai pemimpin PKR yang menyebut secara terbuka bahawa pertanding­an tiga penjuru akan menyebabka­n PKR kehilangan kuasa di Selangor.

Soalnya ialah apakah pemimpin PKR, khasnya yang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar, Ahli EXCO dan ADUN, sanggup kehilangan kuasa di negeri itu?

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia