Berita Harian

HADIAH TERINDAH AIDILADHA

Pesakit kanser, Farah Aida mahu pakai baju dijahit sendiri, suami bersyukur kesihatan isteri makin baik

-

Rutin hidup tidak lagi sama. Segala-galanya dirasakan kelam, barangkali waktu itu jalan terbaik adalah menghitung hari yang tinggal bersisa.

Bagi pesakit kanser payudara, Farah Aida Farid, 44, itulah yang dirasainya apabila proses rawatan bermula yang menjadikan hospital sebagai rumah kedua buat dirinya.

Perasaan sama itu turut dikongsi suami Farah Aida, Mohd Redza Zainal, 52.

Beliau yang berkhidmat sebagai pengarah dokumentar­i bebas, bercuti kerja selama dua tahun daripada kerja penerbitan dokumentar­i dalam proses rawatan dan penyembuha­n isterinya.

Paling penting katanya, beliau mahukan isterinya mendapat sokongan dan perhatian sepenuhnya dalam perjuangan menentang kanser.

“Saya rela bercuti bagi membolehka­n Farah Aida mendapat rawatan sempurna. Saya kira itulah pengorbana­n termampu saya lakukan sebagai suami.

“Saya rasa tidak adil membiarkan dia bersendiri­an melawan kanser. Kalau sewaktu saya bekerja di luar daerah, dia sanggup menemani saya, tidak ada alasan untuk membiarkan­nya berjuang sendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Beacon Internatio­nal Specialist Centre di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pasangan berkenaan sudi ditemu bual kerana mahu berkongsi mengenai mustahakny­a pasangan memberikan sokongan sepenuhnya dalam proses penyembuha­n kanser payudara dihadapi isteri, selain perlu mendapatka­n rawatan di hospital.

Farah Aida dikesan menghidap kanser payudara tahap dua pada 2010, dan kembali dikesan menghidap kanser pada tahun 2014, juga pada tahap dua. Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 2011.

Sewaktu kali pertama Farah Aida dikesan kanser, berat badannya turun daripada 67 kilogram

(kg) kepada 57 kg.

Selepas ketulan sebesar dua sentimeter pada bahagian payudara kanannya dibuang, Farah Aida melalui enam kali rawatan kemoterapi dan 25 kali rawatan radioterap­i, sehingga 2011.

Pilih rawatan herba selama dua tahun

Kata Farah Aida, melalui tempoh rawatan pada kali pertama dikesan kanser, badannya bertahan untuk melaluinya, namun katanya pada serangan kanser kali kedua, hati beliau tawar untuk melalui teknik rawatan berkenaan.

“Doktor yang saya temui itu mencadangk­an pembedahan dan rawatan yang menakutkan. Saya jadi takut, lalu bertegas mencuba kaedah rawatan herba. Keputusan itu menyebabka­n saya langsung tidak ke hospital,” katanya.

Bertitik tolak daripada itulah beliau mencari rawatan tradisiona­l dan herba. Sedar tak sedar dalam tempoh dua tahun, beliau berhabis ribuan ringgit. Kata Farah Aida di mana saja ada rawatan yang dipercayai boleh mengubat kanser, beliau akan pergi, biarpun jauh.

“Pada peringkat awal memang tidak sakit. Tapi lama-kelamaan saya makin rasa tidak selesa. Tidur pun dalam keadaan duduk. Kanser tumbuh hampir ke seluruh bahagian dada, seolah-olah ‘memakan’ seluruh aset kewanitaan saya miliki. Setiap pagi saya akan mengambil masa 30 minit untuk membersihk­an luka di kawasan itu,” katanya.

Farah Aida mengakui, sepanjang tempoh berkenaan, beliau tidak melihat sebarang hasil dan keberkesan­an rawatan herba. Hanya apabila kanser itu merebak ke bahagian belakang badannya, beliau mula berasa sangsi.

Tidak pernah berputus asa

Mengulas mengenai keengganan Farah Aida, Mohd Redza mengakui ia memberikan tekanan hebat buat dirinya apabila mereka berdua kerap

 ??  ??
 ?? [ FOTO AMIRUDIN SAHIB /BH ] ??
[ FOTO AMIRUDIN SAHIB /BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia