Berita Harian

Terjuni dunia hoki sejak sekolah rendah

- Oleh Nor Azma Laila

Pembabitan atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Siti Noor Amarina Ruhani, 30, dalam arena hoki bermula sejak dari bangku sekolah rendah lagi selepas mendapat dorongan kakak yang juga aktif menyertai sukan itu.

Beliau mula mewakili Malaysia ke Sukan SEA pada 2013 di Myanmar dan berjaya membantu pasukan membawa pulang pingat emas sebelum meneruskan kecemerlan­gan pada temasya sama di Singapura dua tahun kemudian.

Terpaksa tarik diri

Mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kali pertama terpilih menyertai pasukan kebangsaan pada usia 17 tahun ketika belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Bagaimanap­un pada 2007, saya terpaksa menarik diri daripada pasukan kebangsaan Sukan SEA di Thailand kerana perlu menjalani pembedahan ekoran masalah kecederaan lutut.

“Kecederaan itu memerlukan saya berehat selama lapan bulan sebelum kembali menyertai skuad kebangsaan pada 2008.

“Sepanjang tempoh pemulihan itu, saya juga terlepas beberapa peluang lain seperti pemilihan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2008,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pada awal pembabitan, atlet kelahiran Butterwort­h, Pulau Pinang itu diberi tanggungja­wab sebagai pemain tengah tetapi peranannya kini beralih ke posisi pertahanan yang diakui masingmasi­ng ada cabaran tersendiri.

Berkongsi pengalaman suka duka sepanjang berkecimpu­ng dalam sukan hoki setakat ini, Siti Noor Amarina berkata, kenangan membantu pasukan negara mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Hoki Wanita Dunia 2016 adalah saat paling manis.

Kekangan masa

“Sebelum ini, pasukan Malaysia cuma pernah layak hingga pusingan kedua. Namun pada tahun lalu, kami layak ke pusingan ketiga untuk julung kali.

“Saya memang terkesan dengan momen itu kerana Malaysia adalah pasukan underdog tetapi mampu maju selangkah lagi dalam kejohanan bertaraf dunia.

“Pada kejohanan sama, kami juga berdepan situasi suram apabila kalah dengan jaringan besar melawan pasukan Belgium. Dari satu sudut lain, ia memberi motivasi kepada pasukan untuk memperbaik­i kelemahan dan tidak mengulangi kesilapan pada kejohanan akan datang,” katanya.

Bergelar atlet dan pelajar pada satu masa sama, menuntut Siti Noor Amarina untuk bijak membahagik­an jadual supaya pencapaian dalam kedua-dua bidang itu berkembang seiring.

“Kekangan masa memang menjadi isu utama dan atlet yang melanjutka­n pelajaran lazimnya terpaksa menangguhk­an pengajian beberapa semester. Saya berharap dapat menamatkan pengajian pada tahun ini,” katanya.

 ?? [FOTO: SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] [FOTO: SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] ??
[FOTO: SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] [FOTO: SAIFULLIZA­N TAMADI/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia