Berita Harian

Polis turut siasat unsur perbuatan khianat

-

Kuala Lumpur: Siasatan berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h yang mengorbank­an 23 nyawa akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk unsur perbuatan khianat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan dari pihak forensik mengenai perkara itu serta laporan bedah siasat.

“Kita sedang menunggu sebarang petunjuk baharu berdasarka­n siasatan laporan forensik yang diterima, termasuk laporan pihak bomba.

“Buat masa ini kematian kesemua mangsa diklasifik­asikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya pada sidang media selepas menyempurn­akan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, di sini, semalam.

Bertindak selepas dapat bukti

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya selepas mendapat bukti dan bukan berdasarka­n dakwaan serta khabar angin sahaja.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasam­a dalam menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h sama ada mempunyai unsur jenayah.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata kedua-dua agensi berbuat demikian berdasarka­n kepakaran masing-masing.

“Kita akan siasat segala aspek yang berkait dengan kebakaran manakala polis akan mengesan jika wujudnya sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

“Kerjasama ini sudah lama diamalkan, setiap agensi mempunyai kepakaran yang tersendiri dalam menyelesai­kan kes-kes kebakaran,” katanya kepada BH.

BERNAMA pula memetik Wan Mohd Nor sebagai berkata peringkat awal siasatan adalah mencari punca kebakaran dari pelbagai sudut termasuk mendapatka­n rakaman percakapan daripada pemilik premis, mangsa yang terselamat dan saksi di tempat kejadian.

“Kalau ada membabitka­n elemen jenayah dan sabotaj, pihak bomba akan serah laporan kepada PDRM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia