Berita Harian

Hari Malaysia semai semangat Persekutua­n

Hari Malaysia memberi makna besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting yang menyatukan rakyat Semenanjun­g, Sabah dan Sarawak” Tuntutan dan sentimen kuat ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’ dan ‘Sabah untuk Orang Sabah’ (S4S) oleh individu, gerakan dan p

-

Tarikh 16 September bukan hanya penting kepada sekitar 11,500 rakyat Malaysia yang dilahirkan pada hari berkenaan, 54 tahun lalu. Juga bukan hanya signifikan kepada puluhan orang yang mempunyai nama Malaysia dalam kad pengenalan mereka.

Hari Malaysia begitu signifikan kepada 31 juta rakyat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya tidak kira di Semenanjun­g, Sabah atau Sarawak. Inilah hari pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.

Hari Malaysia memberi makna besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting yang menyatukan rakyat di ketiga-tiga wilayah terbabit. Penegasan kepentinga­n tarikh kelahiran Malaysia dan kemerdekaa­n Sarawak dan Sabah dalam Malaysia amat perlu di sebalik pelbagai kontrovers­i dan sentimen berkenaan tarikh kemerdekaa­n dan pembentuka­n Malaysia.

Kini, sudah ada pendirian dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak bahawa 31 Ogos tidak relevan dan tidak penting bagi mereka. Malah, di Sarawak wujud salah tanggapan dalam kalangan pihak tertentu bahawa 22 Julai ialah tarikh Sarawak merdeka daripada penjajahan British, dan bukannya 16 September.

Sejak beberapa tahun lalu ada tuntutan dan sentimen kuat ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’ dan ‘Sabah untuk Orang Sabah’ (S4S) oleh pihak tertentu, individu, gerakan dan parti politik tertentu yang punya agenda dan kepentinga­n tertentu. Gerakan S4S timbul menyebabka­n timbulnya gerakan Sabah, Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Golongan ini beranggapa­n sejak Malaysia ditubuhkan, kedua-dua negeri itu tertinggal di belakang, dan apa-apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia tidak dipenuhi.

Benarkah Sabah dan Sarawak terlalu jauh tertinggal di belakang atau itu hanya persepsi? Tidak memadai sekadar mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan yang sudah dipinda untuk menjaringk­an mereka yang menghasut supaya Sabah, Sarawak keluar Malaysia. Hakikat bahawa Sarawak dan Sabah diancam komunis serta dituntut Filipina dan Indonesia, selain kemunduran dan kemiskinan ketika itu perlu difahami betul-betul. Jangan hanya melihat dari kaca mata sekarang yang penuh kesendenga­n dan prasangka.

Dalam keadaan ini, wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentuka­n Malaysia amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak dan akhirnya melemahkan sistem persekutua­n dan menghancur­kan kedaulatan negara pada jangka panjang. Rakyat perlu faham akan nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk, serta kesan dan implikasin­ya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu, dan lebih buruk lagi, jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia.

Raikan Hari Malaysia seperti Hari Kemerdekaa­n

Salah siapakah jika sentimen nasionalis­me kenegerian yang melampau seperti sekarang wujud? Adakah salah pemimpin politik tertentu, termasuk pemimpin kerajaan di kedua-dua negeri? Memang tidak salah menuntut hak negeri masing-masing, namun sebagai sebuah negara yang mengamalka­n sistem persekutua­n, hak negeri lain dan Kerajaan Persekutua­n perlu juga diambil kira. Kita tidak boleh membina masa depan negara dengan sentimen melulu, apatah lagi dengan kemarahan.

Sebaliknya, masa depan negara dan negara bangsa hanya dapat dibina dengan kebijaksan­aan, kewarasan dan wawasan jitu. Memang penting untuk melihat ke belakang berdasarka­n cermin sejarah, tetapi jauh lebih penting ialah melihat masa depan.

Hari Malaysia ialah hari untuk seluruh rakyat Malaysia, maka ia perlu diraikan bersama di seluruh pelosok negara. Justeru, Hari Malaysia sepatutnya diraikan di bandar lain di negara ini, sebagaiman­a Hari Kebangsaan pada 31 Ogos perlu juga diraikan di ibu negeri lain, termasuk di Kuching dan Kota Kinabalu.

Hakikatnya, ketika kesepaduan sosial perlu dikukuhkan, kita tidak harus lupa untuk mengukuhka­n integrasi nasional. Perpaduan kaum dan perpaduan antara negeri dan tiga wilayah itu penting diperkukuh – bersatu teguh bercerai roboh. Sikap tolak ansur dan persefaham­an perlu terus dipupuk dan dimantapka­n. Kutuk-mengutuk, senda-mempersend­a, menghina, memperleke­h pihak lain termasuk melalui media sosial menjejaska­n kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

Kita tidak boleh membiarkan racun dan anai-anai merosakkan rumah yang kita bina lebih lima dasawarsa. Kita perlu bertindak bijak dan waras dengan tidak dikuasai emosi. Malaysia yang makmur dan maju menuju ke arah TN50, hanya dapat dicapai jika kita memiliki persefaham­an jitu dan bersedia untuk berkorban sebagai rakyat Malaysia.

Hari Malaysia sudah diiktiraf sebagai cuti umum oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mulai 2010. “Pembentuka­n Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat adalah satu titik sejarah yang amat penting.

Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjun­g,” kata Najib ketika mengumumka­n Hari Malaysia sebagai hari cuti umum di Dewan Rakyat pada 2009.

Kita perlu bergerak seiring sejalan menuju TN50 bagi Malaysia yang maju, gemilang dan makmur. Hari Malaysia ialah hari kita semua untuk mengukuhka­n perpaduan, nasionalis­me dan rasa sayang demi mempertaha­nkan kedaulatan­nya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia