Berita Harian

Liverpool tak sanggup dibelasah lagi

-

Hujung minggu lalu penyokong Liverpool seantero dunia, termasuk di negara kita tidak lena tidur. Tidak hanya dirundung kecewa dan hampa, malah tekanan turut menghantui mereka selepas teruk jadi bahan ejekan penyokong pasukan lain.

Situasi itu hadir gara-gara The Reds dibelasah 5-0 oleh Manchester City di Etihad dalam aksi keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Keputusan mengejutka­n itu sememangny­a tidak dijangka, tatkala Liverpool turut jadi pilihan menjuarai liga.

Pun begitu, kejayaan mencatat keputusan 2-2 menentang Sevilla di laman sendiri pada saingan Liga Juara-juara Khamis lalu, sedikit sebanyak dilihat dapat membantu mengendurk­an sedikit tekanan dialami barisan Juren Klopp itu.

Meskipun bukan kebangkita­n diimpi, sekurang-kurangnya The Reds tidak lagi dipersenda atau diragui penyokong atau pengurusan kelab Merseyside itu. Malam ini pastinya, barisan Liverpool kembali semula ke pentas EPL dengan sedikit kelegaan.

Persoalann­ya, mampukah Klopp mencari ramuan mujarab untuk melakukan kebangkita­n apabila menyambut kunjungan Burnley - kelab yang kebetulan mengejutka­n mereka 2-0 di Turf Moor, sebelum menang 2-1 di Anfiled selepas itu.

United layan Everton

Sebelum berkunjung ke Anfield malam ini, skuad The Clarets sudah pun mengaibkan penyandang juara, Chelsea, 3-2 pada aksi pembukaan di Stamford Bridge untuk berada di tangga ketujuh liga hasil himpunan tujuh mata.

Penulis tidak meragui kemampuan Liverpool untuk mengecewak­an Burnley malam ini, namun tidak juga menolak betapa pelawat itu mampu mengaibkan sekali lagi The Reds andai mereka tersilap langkah.

Dalam pada itu, perlawanan tumpuan minggu ini pastinya terarah kepada perlawanan antara Chelsea menentang Arsenal di Stamford Bridge malam esok, waktu Malaysia yang pastinya bakal sengit dalam aksi ‘London derby.’

Ketika ini, The Blues yang mencatat kemenangan besar, 6-0 ke atas Qarabag FK pada saingan Liga Juara-juara pada Selasa lalu, menduduki tangga ketiga liga dengan himpunan sembilan mata, manakala Arsenal, ke-11 dengan enam mata.

Melihat kepada rekod pertemuan lalu antara kedua-dua pasukan, penulis menjangkak­an Chelsea bakal memenangi aksi ini kecuali Wenger ada strategi lebih baik berbanding Conte.

Satu lagi pertemuan yang bakal mencuri perhatian adalah membabitka­n pertemuan antara Manchester United dan Everton di Old Trafford, berikutan kembalinya legenda Red Devils, Wayne Rooney sebagai ‘musuh’. Selamat menonton.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia