Berita Harian

Tiada lagi tunggakan gaji

FMLLP yakin pelaksanaa­n kelab wajib ada lesen dapat atasi masalah

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yakin pelaksanaa­n pelesenan kelab mulai tahun depan mampu menangani masalah tunggakan gaji pemain Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, setiap pasukan perlu melepasi penilaian yang dibuat terhadap enam kriteria utama, termasuk kesukanan, infrastruk­tur, pentadbira­n, perundanga­n, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Edisi 2017.

Katanya, menerusi pelesenan kelab, setiap pasukan perlu mengisytih­arkan akaun kewangan mereka termasuk segala perbelanja­an pasukan dan sumber kewangan yang diperoleh.

“Sudah tentu pelesenan kelab boleh bantu (menangani masalah tunggakan gaji pemain) yang mana setiap pasukan mesti isytiharka­n akaun kewangan mereka.

“Jadi, kita boleh lihat status pembayaran (gaji pemain) dan sebagainya. Mereka turut perlu buat pelan perancanga­n perniagaan untuk tempoh tiga tahun.

Kesal lewat buat aduan

“Kita juga dapat lihat dari mana mereka akan dapat sumber kewangan dan apa perancanga­n pasukan. Secara tidak langsung memaksa pasukan itu berfikir lebih panjang.

“Saya harap semua pihak bersabar untuk melihat keberkesan­an pelesenan kelab dan saya pasti ia akan membawa kebaikan jangka masa panjang dari segi isu seperti ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kevin berkata demikian sebagai mengulas isu tunggakan gaji pemain yang terus membelengg­u pasukan Liga M ketika ini.

Setakat ini, permohonan lesen tujuh pasukan Liga Super (Johor Darul Ta’zim, Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang, Selangor dan T-team FC) sudah diluluskan manakala lima lagi dalam peringkat rayuan dan bagi Liga Perdana, ia akan dilaksanak­an pada 2019.

Mengulas mengenai isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA, Kevin berkata pihaknya menunggu keputusan daripada Jawatankua­sa Status FAM.

“Keputusan biasanya dibuat oleh Jawatankua­sa Status dan kita juga memerlukan pengesahan bahawa dakwaan (tunggakan gaji) yang dibuat adalah benar.

“Selepas keputusan dibuat oleh jawatankua­sa itu, baharu kami boleh berbuat sesuatu dalam liga.

“Namun, apa yang kita kesalkan adalah aduan yang dibuat (pemain) begitu lewat iaitu selepas beberapa bulan tunggakan gaji,” katanya.

 ??  ?? JDT antara tujuh pasukan yang sudah memiliki lesen hadapi Liga Super musim depan.
JDT antara tujuh pasukan yang sudah memiliki lesen hadapi Liga Super musim depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia