Berita Harian

Percaturan Kak Pah tepat

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Sekitar 1994, Sharifah Raudzah Syed Akil sering kali mencuba beberapa jenis sukan, namun eksperimen­nya itu gagal membuahkan hasil.

Sharifah Raudzah yang mengalami demam panas pada usia dua tahun pernah mencuba sukan olahraga seperti lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing dan berhenti seketika kerana sibuk dengan urusan kerja.

Bagaimanap­un, atlet yang berusia 44 tahun ini membuat keputusan beraksi sebagai seorang atlet angkat berat pada 2003 kerana melihat potensi sukan itu dan percaturan itu ternyata tepat.

Meskipun sedar era pembabitan­nya dalam sukan itu agak lewat, ketika usianya sekitar 30-an, namun sokongan daripada ibunya, Zaharah Abdul Salam jelas membawa berkat.

“Sebenarnya pada peringkat awal saya tidak minat akan sukan angkat berat namun mungkin sudah takdir untuk saya, dengan keadaan bentuk badan. Saya juga sudah cuba pelbagai jenis sukan namun satu pun tidak memberikan kejayaan.

Rekod baharu

“Peralihan saya ke dalam sukan angkat berat pada 2003 satu peningkata­n walaupun sudah agak lewat pada usia 30an, namun Allah memudahkan dan saya percaya itu yang sesuai untuk saya.

“Di peringkat awal memang ada halangan tambahan pula saya mempunyai anak yang masih kecil dan biasalah pantang larang Melayu namun selepas saya berjaya memenangi emas kategori 75 kilogram (kg) dan rekod baharu kejohanan di Sukan Para ASEAN Korat, Thailand 2008, baru orang nampak kesungguha­n dan memberikan sokongan 100 peratus,” kata Sharifah Raudzah ketika ditemui di Pusat Kecemerlan­gan Sukan Paralimpik Kg Pandan.

Sharifah Raudzah yang dikenali Kak Pah dari Rantau Panjang, Kelantan bakal menggalas cabaran negara dalam kategori 86kg ke atas dan dia berazam untuk memenangi pingat emas dalam acara ini.

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH] ?? Sharifah Raudzah ketika sesi latihan di Kompleks Paralimpik Kampung Pandan.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH] Sharifah Raudzah ketika sesi latihan di Kompleks Paralimpik Kampung Pandan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia