Bomba selesai periksa lebih 300 pusat tahfiz
Tubuhkan Pasukan Petugas Khas di setiap negeri pastikan keselamatan capai piawaian
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa lebih 300 pusat tahfiz di seluruh negara sejak kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, di sini, yang mengorbankan 23 nyawa pada 14 September lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata JBPM juga mewujudkan Pasukan Petugas Khas di setiap negeri bagi memastikan keselamatan pusat tahfiz mencapai piawaian ditetapkan.
Beliau berkata, pasukan itu akan menyiapkan laporan hasil pemeriksaan 941 pusat tahfiz di seluruh negara, termasuk 329 yang tidak berdaftar, dalam tempoh sebulan.
Setakat ini, katanya, pelbagai kesalahan berkaitan aspek keselamatan dikenal pasti dan JBPM memberi tempoh antara seminggu hingga sebulan kepada pengurusan tahfiz berkenaan sebelum pemeriksaan ulangan dibuat.
“Tempoh masa dan tindakan yang perlu diambil pihak pengurusan berbeza mengikut jenis kesalahan mereka kerana ada tindakan memerlukan khidmat kontraktor serta dana mencukupi.
Tindakan mahkamah
“Kegagalan mematuhi arahan dalam tempoh masa mengikut rundingan dan persetujuan kedua-dua pihak itu akan menyebabkan tindakan mahkamah untuk perintah tutup diambil.
“Bagaimanapun bagi bangunan yang tidak sesuai untuk dijadikan penempatan pelajar, ia akan diarah tutup serta merta,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Beliau diminta mengulas keputusan Kabinet supaya JBPM memeriksa semua pusat tahfiz di seluruh negara untuk memastikan keselamatan pusat itu dipertingkatkan atau diarah menghentikan operasi jika terus mengabaikannya.
Kabinet bersetuju dengan enam syor dikemukakan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz termasuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) merangkumi aspek akademik, kurikulum dan keselamatan.
Wan Mohd Nor berkata, antara keutamaan keselamatan yang diberi perhatian adalah penempatan pelajar iaitu asrama, laluan keluar masuk keselamatan, tangga kecemasan, bilangan pelajar yang sesuai dengan keluasan bilik, pemasangan jeriji tingkap dan alat pemadam api.
“JBPM tidak akan bertolak ansur lagi dengan mana-mana pihak pengurusan tahfiz kerana ia membabitkan isu keselamatan dan nyawa,” katanya.
JBPM tak akan bertolak ansur lagi kerana ia babitkan isu keselamatan dan nyawa” Wan Mohd Nor Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat