Berita Harian

Peristiwa hijrah jadikan pedoman

Sultan Nazrin mahu formula baharu dicari atasi halangan, tentangan

- Oleh Shaarani Ismail

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu hijrah dijadikan contoh bahawa dalam memenuhi sesuatu misi, manusia perlu bersedia mencari formula baharu untuk mengatasi halangan dan tentangan.

Titah baginda, hijrah juga hendaklah dijadikan pengajaran bahawa manusia perlu bijak mengenal pasti kelemahan sedia ada dan meneroka kekuatan baharu.

“Hijrah hendaklah dijadikan pedoman, bahawa manusia perlu bersedia melakukan pengubahsu­aian serta bersedia menyesuaik­an diri dengan persekitar­an yang baharu.

“Peristiwa hijrah berjaya membina sifat yakin dan berani dalam kalangan umat Islam, lantas memberikan status baharu kepada Islam dan umat Islam,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurn­akan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak di Dewan Shariff Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, semalam.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnai­n Sultan Idris Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Enam perubahan penting

Sultan Perak bertitah, berlaku enam perubahan penting menerusi peristiwa hijrah.

Pertama, titah baginda, adalah perubahan nasib umat Islam daripada kumpulan kecil yang berada dalam ketakutan diancam musuh kepada umat yang menguasai kuasa serantau di bawah pemimpin berwibawa.

“Kemudian penyebaran Islam beralih daripada hanya kepada penduduk Arab Makkah yang sangat terbatas kepada penyebaran bersifat universal yang merentasi kaum dan wilayah,” titah baginda.

Baginda bertitah, perubahan ketiga adalah corak dakwah yang dilakukan secara tersembuny­i bertukar kepada kegiatan dakwah yang dilakukan secara terbuka.

“Keempat, Islam berkembang daripada agama yang dianuti sekumpulan kecil pengikut kepada sebuah negara Islam yang didukung oleh pelbagai institusi dan organisasi.

“Kelima, status umat Islam juga berubah daripada keadaan lemah dan dihina kepada umat yang gagah lagi dihormati.

“Keenam, ajaran Islam tidak lagi berbentuk satu ritual ketuhanan, tetapi menjadi satu ‘Addin’, satu budaya hidup yang diredai, merangkumi politik, ekonomi, interaksi sosial dan setiap lapangan kehidupan, meletakkan Islam sebagai agama yang komprehens­if," titah baginda.

Baginda bertitah, hijrah berjaya membangunk­an tamadun Islam dan berkembang maju kerana umatnya berani melakukan perubahan dalam pelbagai aspek dan dimensi.

Titah Sultan Perak, Islam tidak akan berkembang jika umatnya berjiwa hamba, berminda abdi, berfikiran fakir dan berpandang­an jumud.

“Islam berkembang dengan minda yang cerdas lagi cergas dan fikiran yang luas lagi terbuka," titah baginda.

Sementara itu baginda turut berkenan menyampaik­an anugerah Tokoh Ar-ridzuan kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, 78, dan Tokoh Maal Hijrah Perak 2017 kepada bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Peristiwa hijrah berjaya membina sifat yakin dan berani dalam kalangan umat Islam, lantas memberikan status baharu kepada Islam dan umat Islam” Sultan Nazrin, Sultan Perak

 ?? [FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] ?? Sultan Nazrin menyampaik­an anugerah Tokoh Ar-ridzuan kepada Harussani (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak di Dewan Shariff Pangkalan TLDM, Lumut, semalam.
[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] Sultan Nazrin menyampaik­an anugerah Tokoh Ar-ridzuan kepada Harussani (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak di Dewan Shariff Pangkalan TLDM, Lumut, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia