Berita Harian

Projek lereng bukit, tambak laut punca bah

Penduduk alami dua kali banjir kilat dalam tempoh seminggu

- Oleh Fatin Fazlina Yaakob

Projek tambakan laut dan penerokaan hutan kawasan lereng bukit tanpa kawalan, didakwa menjadi punca banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan Teluk Kumbar, di sini.

Penduduk Kampung Melayu, Zainol Osman, 47, mendakwa walaupun sebelum ini kawasan rumahnya pernah dilanda banjir kilat sekiranya hujan berterusan, namun ia tidak seteruk yang dialami sejak kebelakang­an ini.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, air di kawasan itu naik terlalu cepat setiap kali hujan lebat, menyebabka­n penduduk tidak sempat menyelamat­kan barangan berharga di dalam rumah.

Air naik ke paras pinggang

“Dalam tempoh seminggu, dua kali kawasan ini dilanda banjir kilat. Dalam kejadian Jumaat lalu, air hanya naik sehingga paras paha namun semalam sehingga mencapai paras pinggang.

“Sebelum ini, air hanya akan naik jika hujan lebat berterusan selama tiga hingga empat jam, namun kali ini hujan tidak sampai satu jam air sudah melimpah memasuki rumah,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

Dalam kejadian hujan lebat semalam, seramai 352 penduduk daripada tiga kampung di Teluk Kumbar di sini, terpaksa dipindahka­n ekoran banjir kilat melanda kawasan itu.

Selain Teluk Kumbar, kawasan lain yang terjejas adalah Bayan lepas, Sungai Ara, Balik Pulau, Batu Feringghi, termasuk beberapa kawasan di Seberang Perai.

Penduduk Kampung Nelayan, Fakri Bakar, 50, berkata banjir kilat yang tiada berkesudah­an sejak 25 tahun lalu, sudah disifatkan sebagai fenomena biasa kepada penduduk sekitar Teluk Kumbar.

“Selain masalah pembanguna­n tidak terkawal, banjir kilat ini turut berpunca daripada pintu air sungai yang sempit. Justeru, kita berharap pihak bertanggun­gjawab dapat mencari jalan penyelesai­an dengan segera untuk atasi masalah ini dan jangan hanya bersikap seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Pintu air sempit

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata pintu air yang menjadi penghadang aliran sungai di Kampung Nelayan, di sini, didakwa terlalu sempit dan gagal menampung kapasiti air yang meningkat sekiranya hujan lebat.

“Pintu air yang gagal berfungsi dengan sempurna ini perlu dibaiki segera ataupun dirobohkan bagi memudahkan air sungai terus mengalir ke laut,” katanya.

 ?? [FOTO AMIR IRSYAD OMAR/BH] ?? Hilmi (kiri) turut membersihk­an rumah yang terbabit dalam banjir kilat di Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, semalam.
[FOTO AMIR IRSYAD OMAR/BH] Hilmi (kiri) turut membersihk­an rumah yang terbabit dalam banjir kilat di Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia