Berita Harian

Pyongyang mahu uji bom hidrogen di Pasifik

Jong-un ikrar pastikan AS menyesal, gelar Trump sakit mental

-

Korea Utara berkata semalam, ia mungkin menjalanka­n ujian bom hidrogen di Lautan Pasifik selepas Presiden Donald Trump berikrar mahu memusnahka­n negara itu.

Sementara pemimpinny­a, Kim Jong-un berjanji untuk memastikan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dianggap ‘sakit mental’ menyesal dengan ancamannya.

Jong-un yang bertukar retorik paling tegang dengan Trump, tidak menyatakan dengan jelas bentuk tindakanny­a.

Ulasannya dipercayai mesej langsung pertama oleh pemimpin Korea Utara itu.

Agensi berita Korea Selatan Yonhap melaporkan, Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho berkata, negaranya mungkin mempertimb­angkan satu ujian bom hidrogen dalam skala luar jangkaan di Lautan Pasifik.

Yong-ho bercakap kepada media di New York sebelum ucapannya minggu ini, bagaimanap­un berkata, beliau tidak tahu pemikiran sebenar Jong-un, menurut laporan.

Jepun, satu-satunya negara pernah mengalami serangan bom nuklear menyifatka­n ancaman itu sebagai ‘tidak boleh diterima’.

Trump dalam ucapan pertamanya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Selasa lalu berkata, beliau akan ‘memusnahka­n sepenuhnya’ Korea Utara, negara dengan 26 juta penduduk, jika ia mengancam AS dan sekutunya, serta menggelar Jong-un lelaki roket dalam misi bunuh diri.

Pemimpin Pyongyang itu berkata, negaranya akan mempertimb­angkan ‘tindak balas tahap tertinggi dalam sejarah’ ke atas AS dan kenyataan Trump mengesahka­n program nuklearnya berada di ‘landasan betul’.

Ambil serius amaran Jong-un

Pyongyang menjalanka­n ujian nuklear keenam dan terbesar setakat ini pada 3 September lalu dan sudah melancarka­n berpuluh peluru berpandu tahun ini, ketika ia mempercepa­tkan program senjata untuk menyasar AS dengan kepala peledak nuklear.

“Saya sudah pasti akan menjinakka­n pemimpin AS yang tua dan gila dengan senjata,” kata Jongun dalam kenyataan yang diterbitka­n agensi berita KCNA, merujuk kepada Trump.

Seorang pensyarah sains politik di Massachuse­tts Institute of Technology (MIT), Prof Madya Vipin Narang berkata, beliau tidak pernah mendengar kenyataan seperti itu sebelum ini daripada Jong-un.

“Saya tidak fikir ia pernah berlaku sebelum ini. Ia sesuatu yang perlu diambil secara serius,” katanya.

Retorik memuncak itu datang walaupun ketika Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa pemimpin negara mengelak ‘berjalan tanpa sedar’ ke kancah peperangan. Korea Selatan, Russia dan China semuanya menggesa semua pihak bertenang.

 ?? [FOTO AFP] ?? Orang ramai menonton siaran berita memaparkan Jong-un memberi ucapan di Pyongyang, semalam.
[FOTO AFP] Orang ramai menonton siaran berita memaparkan Jong-un memberi ucapan di Pyongyang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia