Berita Harian

Zidane minta penyokong Real bertenang

-

Madrid: Selepas hanya lima perlawanan, Real Madrid berubah daripada pencabar utama kejuaraan La Liga kepada kelab yang tercicir tujuh mata di belakang peneraju, Barcelona menjelang kunjungan ke Alaves, hari ini.

Ketika Real membelasah Barca yang sedang mengharung­i krisis 5-1 dalam Piala Super Sepanyol bulan lalu, skuad bimbingan Zinedine Zidane itu dijangka mendominas­i saingan elit Sepanyol sekali lagi.

Sebaliknya, Real dipalit kekecewaan apabila diikat Valencia dan Levante di laman sendiri sebelum Real Betis menjadi pasukan selain Barca dan Atletico Madrid meraih kemenangan di Santiago Bernabeu dalam kempen La Liga untuk tempoh enam setengah tahun, semalam.

“Kami sudah tercicir tujuh mata dalam jumlah perlawanan yang kecil, namun perjalanan masih jauh lagi dan kami tidak boleh membuang segala-galanya yang sudah kami lakukan setakat ini ke bakul sampah hanya disebabkan dua atau tiga perlawanan yang biasa,” kata Zidane.

“Saya tahu ramai yang tidak menggemari­nya apabila apa yang kami lakukan tidak berhasil, namun kita perlu menerimany­a dan bertenang.

Liga baru mula

“Saingan liga masih panjang dan kami juga akan tetap bertenang kerana kami akan meningkatk­an diri dan musim kami ini akan menghasilk­an hari yang baik.”

Rekod Real di gelanggang lawan agak baik setakat ini dengan kemenangan ke atas Deportivo la Coruna dan Real Sociedad, selain menewaskan Barca dan Manchester United dalam Piala Super UEFA.

“Ia seolah-olah seperti kami gagal menjaringk­an gol awal di Bernabeu, kami mula merasa cemas,” kata pemain tengah, Isco.

“Ia sesuatu yang kami perlu perbaiki dan adalah lebih baik ia berlaku sekarang di permulaan musim berbanding apabila tiada lagi ruang untuk kesilapan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia