Berita Harian

Waris terkilan pengurusan membisu

Pengetua minta bersabar, beri masa selesaikan hal berkaitan kes kebakaran

- Oleh Siti Azila Alias

Waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h terkilan dengan pengurusan tahfiz yang didakwa masih gagal memberi penjelasan berhubung kejadian biarpun sudah lebih seminggu tragedi itu berlalu.

Wakil waris, Noor Azizan Abdul Aziz, yang turut kematian anaknya, Muhammad Taufik Hidayat, 16, mendakwa sikap berdiam diri pihak berkenaan menimbulka­n rasa tidak puas hati dan persoalan dalam kalangan waris, terutama yang kematian anak mengenai apa sebenarnya berlaku pada awal pagi 14 September lalu.

“Sehingga kini kami masih tertanya-tanya tentang situasi sebenar pada hari itu.

“Kami bukan menyalahka­n ustaz dalam hal ini, tetapi cuma mahukan keadilan sewajarnya diberikan kepada keluarga mangsa dengan memaklumka­n perkara sebenar. Yang mati itu anak-anak kami,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mengenai dakwaan mereka melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan pusat tahfiz berkenaan, Noor Azizan menjelaska­n, itu bukanlah tujuan sebenar mereka.

Katanya, pertemuan dengan pihak peguam kelmarin, hanyalah untuk mendapatka­n pandangan dan nasihat sebagai persediaan, jika ada sebarang isu perundanga­n yang timbul pada masa depan serta menjadi wakil mereka untuk berurusan dengan pusat tahfiz itu.

Tiada isu saman

“Perkara mengenai lantikan peguam ini belum sah. Buat masa ini, tiada isu saman kerana apa yang kita mahu dengar dulu penjelasan sebenar daripada pihak pusat tahfiz.

“Kita nak perbincang­an kedua-dua pihak (waris dan pengurusan tahfiz) bukan nak cari kesalahan, kita cuma nak tahu (perkara sebenar),” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, satu pertemuan sedang diatur dengan pihak pengurusan tahfiz itu bagi membolehka­n kedua-dua pihak duduk berbincang mengenai insiden terbabit, namun tidak boleh mendedahka­n butiran mengenainy­a sekarang.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h, Mohd Zahid Mahmood, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan keluarga mangsa kelmarin dan turut menjemput mereka menghadiri majlis tahlil di Surau Ittifaqiya­h, Jalan Keramat Hujung di sini, malam tadi.

Minta waris bersabar

Beliau menjelaska­n, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan keluarga mangsa, namun meminta mereka bersabar dan memberi masa kepadanya untuk menyelesai­kan hal berkaitan kes itu.

“Mungkin ada waris beranggapa­n kita mahu tinggalkan mereka, sebenarnya tidak. Saya minta jangan keruhkan lagi keadaan, dalam situasi getir ini kita kena bersabar.

“Kekangan masa menyebabka­n setakat ini saya tidak sempat bertemu mereka (waris). Ini kes jenayah, saya perlu berurusan dengan banyak pihak termasuk polis dan bomba, tetapi semalam (kelmarin) saya dah jumpa mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai yang mahu menyerahka­n sumbangan sejak hari kejadian.

Mungkin ada waris anggap kita mahu tinggalkan mereka, sebenarnya tidak. Saya minta jangan keruhkan lagi keadaan” Mohd Zahid Mahmood, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia