Berita Harian

Sukan Para ubah nasib

-

“Tuhan sudah merancang untuk saya. Kalau tidak hilang kaki, mungkin saya takkan berada di tempat ini sekarang sebagai juara”. Begitulah reaksi Shukor Farhan Suliman, pemenang pingat emas acara tiga kilometer kejar-mengejar berbasikal individu Sukan Para yang melabuhkan tirai di Kuala Lumpur, malam tadi.

Bekas pelajar tahfiz dari Muar itu kehilangan kaki kanan selepas terbabit kemalangan pada 2011. Daripada terus murung dan menyepi diri memikirkan masa depannya musnah menjadi orang kurang upaya (OKU) sekelip mata, Shukor memutuskan ketentuan Tuhan pasti ada hikmahnya.

Mesejnya mudah, jika kemalangan yang mengubah nasibnya itu tidak berlaku, dia mungkin menjadi antara jutaan lelaki normal lain tetapi dia kini bergelar juara.

Setiap hari apabila saya membaca ruangan sukan akhbar sejak Sukan Para bermula, pelbagai kisah kesedihan, kegigihan dan inspirasi menjadi sajian. Ketika itulah saya sedar bagaimana Sukan Para yang dipandang remeh, termasuk saya sendiri sebenarnya menjadi pengubah nasib ribuan rakyat kita, penduduk ASEAN dan dunia yang bergelar golongan istimewa ini. Lihatlah pemenang emas kita pada temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio, Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang kini bergelar jutawan atas kejayaan cemerlang di Brazil. Sukan Para sama ada peringkat Olimpik atau ASEAN membuka peluang kepada insan istimewa ini untuk berani bermimpi, bercita-cita dan mencapai apa sahaja yang mereka mahukan, asalkan ada tekad, motivasi dan kesungguha­n untuk berjuang dengan melupakan kekurangan diri. Walaupun ada pelbagai cerita sedih, jatuh bangun dan penderitaa­n di sebalik kejayaan kelompok istimewa ini seperti kisah Shukor Farhan yang kehilangan kaki, Sukan Para mengubah dunianya, malah menjadi platform mencapai kejayaan. Sukan ini menjadikan insan istimewa sepertinya menjadi glamor bak artis. Sukan Para membawa sinar kepada mereka yang cacat dan lembap, mereka kini ada harapan bersaing seperti atlet biasa, malah ada antara mereka mampu memecahkan rekod dunia. Kehadiran ribuan penonton melihat aksi mereka di gelanggang petanda keprihatin­an rakyat kita terhadap nasib insan kurang upaya. Kisah dan kejayaan mereka adalah inspirasi dan dorongan mengubah masa depan serta nasib anak kita. Pencapaian mereka bukti setiap manusia tidak kira normal atau OKU tetap boleh berjaya. Status OKU bukan bererti mereka tidak berupaya. Jadi, janganlah kita biarkan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak mencuba, tidak berusaha keluar daripada dunia keselesaan. Jika atlet para boleh melakukann­ya, kita juga boleh. Seperti kata Shukor Farhan, apa saja yang berlaku sudah ditakdirka­n dan mesti ada hikmahnya.

 ??  ?? Shukor Farhan Suliman
Shukor Farhan Suliman
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia