Berita Harian

Lanun lolos ditemui terdampar di pantai

Suspek antara 3 lepaskan diri daripada tahanan APMM

- Oleh Aslina Abu Bakar

Seorang daripada tiga lanun yang berjaya meloloskan diri selepas merompak sebuah kapal tangki bersama 11 yang lain di perairan Terengganu, awal bulan ini, sudah ditahan 11 September lalu.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 9, Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata warga Indonesia berusia 46 tahun itu ditemui orang awam terdampar di Pantai Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Katanya, suspek yang memperkena­lkan diri sebagai Sabri Adnan diserahkan kepada polis dan kemudian kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Ketika siasatan awal imigresen, suspek memperkena­lkan diri dengan nama Sabri Adnan. Namun, selepas pemeriksaa­n dokumen dan pasport, imigresen tidak menemui maklumat berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, imigresen akhirnya berjaya menemui data peribadi suspek sebelum mendapati lelaki itu seorang daripada tiga suspek yang lolos ketika tangkapan oleh Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) pada 7 September lalu,” katanya.

Direman seminggu

Beliau berkata, suspek diserahkan kepada APMM pada 18 September lalu dan kini direman selama seminggu bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpula­n menggunaka­n senjata,” katanya.

Pada 7 September lalu, APMM menahan 10 daripada 13 lanun warga Indonesia yang cuba merompak sebuah kapal tangki di perairan berhampira­n Pulau Redang.

APMM turut menahan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun, juga warga Indonesia yang dipercayai dalang utama jenayah itu di sebuah hotel di Johor Bahru.

Semua 11 lanun berkenaan sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dengan enam daripada mereka turut dikenakan hukuman lima sebatan.

Sementara itu, APMM turut merampas 17,000 liter diesel, peralatan menangkap gamat dan ikan yang keseluruha­n bernilai RM700,000 selepas menahan dua bot nelayan Vietnam, Khamis lalu.

Rahim berkata, dua bot terbabit ditahan dalam Ops Perkasa Timur dan Ops Marikh, masing-masing pada kedudukan 34 dan 60 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia