Berita Harian

74 termasuk remaja ditahan sertai pesta liar

-

Johor Bahru: Seramai 74 orang, termasuk remaja ditahan kerana menyertai pesta liar yang mengenakan bayaran masuk RM20 dan RM30, di sebuah banglo di pusat peranginan, di Kempas, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, polis turut merampas lapan pil ecstasy, 12 pil Eramin 5 dan satu paket serbuk dadah dipercayai jenis Ketamin, selain beberapa peralatan muzik serta 42 pas masuk.

Serbuan dijalankan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dibantu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hasil makluman awam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata polis mendapat aduan ada penganjura­n pesta dengan nama Pesta Proqtext Zeus yang dicemari muzik kuat dan penyediaan minuman keras di situ sebelum menghantar anggota polis membuat pemeriksaa­n.

18 positif dadah

Katanya, siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dipercayai penganjur pesta itu dibantu tujuh individu lain yang menarik penyertaan orang muda menerusi laman sosial Wechat dengan bayaran RM20 bagi wanita dan RM30 untuk lelaki.

“Ketika serbuan, didapati seramai 48 lelaki dan 26 perempuan berusia 16 hingga 33 tahun sedang berhibur, selain saringan awal mendapati 18 daripadany­a dipercayai positif dadah jenis meth (pil khayal).

“Daripada pemeriksaa­n fizikal ke atas mereka yang turut serta, polis merampas lapan pil ecstasy, 12 pil Eramin 5 dan satu paket serbuk dadah dipercayai jenis ketamin, selain beberapa peralatan muzik serta 42 pas masuk untuk menyertai pesta itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Taib berkata, 22 termasuk enam wanita didapati positif pelbagai jenis dadah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat suspek yang memiliki dadah disiasat mengikut Seksyen 12(3)Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, sembilan lagi disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor kerana menganjurk­an hiburan tanpa lesen hiburan yang sah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia