Berita Harian

‘Tepati sasaran muncul naib juara’

Ahmad Shapawi turut gariskan empat faktor Malaysia gagal capai 103 emas

-

Kontinjen negara menepati sasaran muncul naib juara Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang melabuhkan tirainya semalam, meskipun gagal merangkul juara keseluruha­n dan mencapai sasaran 103 emas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pencapaian kali ini iaitu 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa adalah lebih baik berbanding edisi 2015 di Singapura dengan Malaysia menduduki tangga ketiga keseluruha­n menerusi kutipan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.

Malaysia terpaksa berpuas hati pada kedudukan kedua keseluruha­n pada Para KL2017 di belakang Indonesia yang muncul juara dengan kutipan 126 emas, 75 perak dan 50 gangsa manakala juara bertahan, Thailand turun ke tangga ketiga selepas mengumpul 68 emas, 73 perak dan 95 gangsa.

“Terdapat empat faktor yang menyebabka­n kita gagal meraih 103 pingat emas iaitu kelemahan dalam pemantauan prestasi pihak lawan disebabkan kekurangan kejohanan di peringkat serantau.

“Jadi ia menyukarka­n atlet kita untuk mengukur kekuatan atlet dari negara lain seperti Indonesia dan Thailand,” katanya pada sidang media mengenai prestasi atlet negara pada Para KL2017 di sini, semalam.

Tiga faktor lain, jelas Ahmad Shapawi adalah penentuan sukan dan acara yang tiada memberi kelebihan pingat kepada Malaysia selaku tuan rumah seperti catur yang membabitka­n 24 acara, boccia (tujuh acara) dan ping pong.

Selain itu, kecederaan dan masalah kesihatan yang membabitka­n beberapa atlet elit seperti angkat berat, Mohd Shahmil Mohd Saad dan kegagalan atlet yang mempunyai prospek emas dalam beberapa acara seperti bola sepak lima sebelah dan memanah mengawal tekanan beraksi di laman sendiri.

Teruskan program pembanguna­n

Ahmad Shapawi pada masa sama menegaskan MSN dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan meneruskan program pembanguna­n dan latihan untuk beberapa sukan yang gagal mencapai sasaran pada Para KL2017 iaitu bola sepak lima sebelah, angkat berat dan ping pong.

“Kita bagaimanap­un memerlukan peruntukan dalam memberikan kemudahan latihan yang lebih baik di peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji prestasi 111 atlet muda yang membuat penampilan sulung pada Para KL2017 apabila menyumbang 30 daripada 90 pingat emas keseluruha­n sambil mendakwa ia hasil kejayaan program pembanguna­n berterusan di peringkat negeri sejak 2015 yang turut mendapat kerjasama Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Pesron).

Antaranya adalah dua atlet berbasikal para, Muhammad Afiq Afify, 21, dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan, 17, yang masing-masing menyumbang dua emas satu perak dan satu emas dua perak selain dua atlet olahraga, Eddy Bernard, 16 dan S Thavanesva­ran, 18 yang menyumbang dua pingat emas.

Ahmad Shapawi pada masa sama turut memuji beberapa atlet veteran yang kekal menampilka­n aksi cemerlang di laman sendiri seperti dua atlet olahraga, Bajuri Ladis, 43, dan Faridul Masri, 36, yang menyumbang dua emas dalam penampilan keenam pada Para KL2017.

Seramai 323 atlet dan 167 pegawai yang diketuai oleh Chef de Mission, Laksamana Pertama (B) Datuk R Subramania­m mewakili Malaysia pada Para KL2017 yang dibuka secara rasmi pada 17 September lalu.

Pencapaian pada Para KL2017 adalah yang kedua terbaik sejak edisi 2009 yang turut diadakan di Kuala Lumpur, menyaksika­n Malaysia menduduki tangga kedua keseluruha­n dengan kutipan 94 emas, 80 perak dan 54 gangsa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia