Berita Harian

Misi sukar tiga pasukan

Selangor, Perak, FELDA harap keajaiban untuk mara

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Selepas lapan pasukan terkandas pada peringkat kumpulan, empat lagi pasukan bakal disingkirk­an daripada saingan Piala Malaysia selepas berakhirny­a aksi suku akhir kedua, malam ini.

Di atas kertas, empat pasukan termasuk Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang dan PKNP FC dilihat memiliki bekalan selesa hasil kemenangan dalam aksi pertama minggu lalu.

Bagi Selangor dan Perak, kedua-duanya membawa misi sukar selepas memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk mengesahka­n tempat ke separuh akhir.

Tugas berat Selangor

Berdepan juara bertahan, Kedah di Alor Setar jelas bukan tugas mudah buat The Red Giants sementara Perak yang memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri semestinya mengharapk­an sokongan padu daripada penyokong untuk mengatasi Pahang.

FELDA United FC yang dikejutkan PKNP 3-1 pada aksi pertama tampak berdepan tugas lebih sukar apabila perlu menang sekurang-kurangnya 3-0 di Shah Alam, malam ini.

Biarpun tipis, namun peluang buat tiga pasukan itu masih terbuka. Malah, jurulatih mereka, P Maniam (Selangor), Mehmet Durakovic (Perak) dan B Sathianath­an (FELDA United) juga sudah melancarka­n misi ‘tidak mustahil’ untuk mengharung­i aksi penentuan malam ini.

Sementara itu, nasib Melaka United pula boleh diibaratka­n seperti ‘telur di hujung tanduk’ rentetan daripada kekalahan besar 1-4 kepada juara Liga Super, JDT di gelanggang sendiri pada aksi pertama.

Memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 4-0 ke atas pasukan elit seperti JDT, mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan anak buah Eduardo Almeida apatah lagi beraksi di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan.

Peluang seakan tertutup

Skuad Hang Tuah pastinya sudah sedar peluang mereka seakan sudah tertutup dan hanya mengharapk­an keajaiban berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Ramai yang meramalkan semua pasukan yang memenangi aksi pertama minggu lalu tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir, namun sejauh mana ramalan itu tepat hanya akan diketahui selepas tiupan wisel penamat daripada pengadil malam ini.

Jika ia tepat, satu pertemuan menarik antara Pahang dan JDT bakal disaksikan pada separuh akhir nanti sementara Kedah akan berdepan PKNP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia