Berita Harian

Najib dicabar kemuka bukti wang GST tak ‘dirompak’

Bekas PM diminta jelaskan ke mana ‘pergi’ bayaran balik RM18B

- Oleh Fahmy Azril Rosli

Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Najib Razak mengemukak­an bukti bahawa wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) sebanyak RM18 bilion tidak hilang ketika pentadbira­n kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, jika wang itu tidak ‘dirompak’ kerajaan terdahulu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri harus kemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan itu.

“Sekiranya wang itu tidak hilang, patut tanya (Najib), di mana wang itu pergi,” katanya kepada media selepas kunjungan ke pameran lukisan - Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, semalam.

Menjawab soalan tuduhan pihak tertentu bahawa wang bayaran balik GST itu digunakan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan sedang menghadapi kekangan kewangan, namun situasi itu tidak memaksa pihaknya menggunaka­n wang itu.

Sebaliknya, Dr Mahathir menyalahka­n kepemimpin­an kerajaan terdahulu banyak menggunaka­n wang untuk membayar dan menyelesai­kan hutang.

Sikap buruk pemimpin

Beliau turut menyalahka­n sikap buruk kalangan pemimpin dalam kerajaan terdahulu yang secara semberono menyelewen­g wang kerajaan.

“Walaupun kita tidak mempunyai wang, namun kita tidak mencuri wang kerajaan seperti yang Najib lakukan.

“Orang ramai mengharapk­an kita memberi wang kepada mereka disebabkan sikap yang dibentuk Najib sendiri.

“Najib bagi wang kepada orang ramai secara bebas dan cara itu menyebabka­n masyarakat harap kita buat perkara sama seperti Najib,” katanya.

Isu sejumlah wang GST RM18 bilion hilang didedahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika menyampaik­an ucapan penggulung­an perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, yang mendakwa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangka­n kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Guan Eng sekali lagi membangkit­kannya di Dewan Rakyat dan dilaporkan berkata, audit dalaman serta pemeriksaa­n kastam mendapati RM18 bilion ‘hilang’ daripada tabung bayaran balik GST.

Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahka­n daripada jumlah tunggakan itu, sebanyak RM9.2 bilion atau 47 peratus adalah bagi tahun ini; RM6.8 bilion (35 peratus) 2017; RM2.8 bilion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.

Baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, sekali gus memperliha­tkan kekurangan kira-kira RM18 bilion.

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] ?? Dr Mahathir melawat pameran lukisan Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Serdang, semalam.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] Dr Mahathir melawat pameran lukisan Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Serdang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia